
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 akan disertai 20 pasukan yang telah mengesahkan penyertaan bagi saingan edisi ke-30 itu yang dijadualkan bermula 27 September hingga 4 Oktober depan.
- MSN ambil langkah penjimatan kos namun menegaskan pengurangan pasukan tidak menjejaskan status UCI dan pelaksanaan LTdL tetap dijalankan dengan jayanya.
- Dua pasukan WorldTeam disahkan: XDS Astana Kazakhstan Team dan Team Picnic PostNL.
- Barisan ProTeam termasuk Tudor, Caja Rural, Equipo Kern Pharma, TotalEnergies, dan pasukan baharu Modern Adventure Pro Cycling.
- Laluan mencabar melibatkan tiga pendakian sukar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands, merentasi keseluruhan sejauh 1,285.5 kilometer.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, kemeriahan saingan LTdL 2026 tetap dapat dirasai meskipun penganjurannya dilaksanakan dengan langkah penjimatan kos, selain mengambil kira keadaan ekonomi dan kesan geopolitik global.
“Pengurangan jumlah pasukan ini tidak menjejaskan status kita di peringkat Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Langkah ini diambil bagi memastikan kita dapat melaksanakan LTdL dengan jayanya pada tahun ini. Jika lebih banyak pasukan dijemput, ia sudah tentu akan melibatkan kos yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman pasukan LTdL 2026 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di ibu negara hari ini.
LTdL 2026 tetap menampilkan barisan kompetitif dengan penyertaan dua pasukan WorldTeam, sembilan ProTeam dan sembilan pasukan benua.
“Dua slot WorldTeam pasukan telah pun mengesahkan penyertaan iaitu XDS Astana Kazakhstan Team iaitu pasukan perpangkalan di Kazakhstan dan Team Picnic PostNL yang berpangkalan di Belanda. Kedua-dua pasukan ini bertaraf WorldTeam,” katanya lagi.
Turut mengesahkan penyertaan ialah pasukan ProTeam termasuk Tudor Pro Cycling Team (Switzerland), Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma, Burgos-Burpellet (Sepanyol), TotalEnergies, Unibet Rose Rockets (Perancis), Bardiani CSF- Saber (Itali) dan pasukan baharu iaitu Modern Adventure Pro Cycling (Amerika Syarikat)
Sembilan pasukan benua pula ialah Terengganu Cycling Team dan Malaysia Pro Cycling (Malaysia), Thailand Continental Cycling Team, 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines, Nusantara Cycling Team (Indonesia), WheelTop Rotor Chengdu Cycling Team (China), Aisan Racing Team (Jepun), KSPO (Korea Selatan) dan St George Continental Cycling Team (Australia) selain Pasukan Kebangsaan Malaysia.
Meskipun jumlah pasukan berkurangan daripada 22 pasukan pada 2025, LTdL 2026 masih memenuhi kuota perlumbaan berstatus ProSeries yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Beliau yakin komposisi pasukan yang ada mampu memastikan saingan yang bertaraf tinggi apabila melibatkan laluan yang mencabar merangkumi tiga pendakian sukar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.
Pelumba bakal memulakan kayuhan di Shah Alam pada 27 September dan akan menamatkan saingan di Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,285.5 kilometer.