RCI TH: Orang ramai persoal tindakan pembangkang keluar dewan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Tindakan sebahagian ahli parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), semalam, mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Orang ramai anggap isu TH perlu terus dibahaskan dan diperkukuh demi kepentingan pendeposit.
  • Perkembangan terkini dilihat meningkatkan keyakinan masyarakat kerana kedudukan TH semakin stabil.
  • Kemudahan TH termasuk urusan haji, zakat dan dividen lebih baik beri pendeposit rasa selamat.

Dalam tinjauan RTM di sekitar ibu negara, rata-rata berpandangan tindakan berkenaan tidak wajar, selain menegaskan isu berkaitan TH perlu terus dibahaskan dan ditambah baik demi kepentingan pendeposit.

Peniaga makanan, Mohamad Fildza Danial Rosli, berkata beliau kecewa dengan tindakan berkenaan kerana TH merupakan institusi penting kepada umat Islam, khususnya dalam membantu persediaan menunaikan ibadah haji.

“Saya rasa kecewa sebab perkara ini melibatkan kita sebagai umat Islam dan penting untuk memperkukuhkan lagi TH. Ia juga dapat membantu memudahkan urusan dan keputusan kita untuk menunaikan haji,” katanya ketika ditemui RTM.

Pandangan sama turut disuarakan peniaga, Nur Hedaya Jaafar, yang menegaskan setiap pihak perlu menghormati proses perbahasan dan keputusan yang dibuat di Dewan Rakyat.

“Pada saya, tindakan itu tidak wajar kerana kita perlu saling menghormati. Apa pun keputusan yang dibuat, kita kena hormat,” katanya.

Sementara itu, pendeposit, Arina Rahman berpandangan perkembangan berkaitan TH ketika ini dapat membantu meningkatkan semula keyakinan masyarakat terhadap institusi berkenaan.

“Saya rasa ini satu langkah yang baik. Sekurang-kurangnya ia meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap TH.

“Jadi, saya tidak rasa keyakinan masyarakat akan terjejas kerana saya tahu TH ialah sebuah institusi yang sudah lama dibina dan masih mendapat kepercayaan orang ramai,” jelasnya.

Dalam pada itu, tinjauan RTM turut mendapati perkembangan kedudukan TH yang semakin stabil dan kukuh memberi keyakinan kepada pendeposit untuk terus membuat simpanan.

Tambah Mohamad Fildza, yang juga pendeposit TH, keadaan semasa membuatkannya berasa lebih selamat dan yakin untuk meneruskan simpanan di TH sebagai persediaan menunaikan ibadah haji.

“Saya rasa lebih selamat dan lebih yakin sebab TH dapat mempercepatkan proses untuk menunaikan haji. Selain itu, dengan dividen yang lebih tinggi, keyakinan saya juga semakin meningkat. Jadi, saya lebih yakin,”jelasnya.

Nur Hedaya pula berkata kemudahan yang disediakan TH, termasuk urusan berkaitan zakat, turut memberi rasa lebih selamat kepada pendeposit.

“Saya rasa lebih selamat, terutama daripada segi urusan zakat kerana kami tidak perlu lagi memikirkan atau membuat pengiraan sendiri.

“Jadi, saya berharap urusan untuk menunaikan haji juga dipermudahkan dan saya dapat pergi dalam masa terdekat,”katanya.

Bagi pendeposit, Naizatul Fazlina, TH turut dilihat sebagai medium untuk membuat persediaan awal bagi menunaikan ibadah haji.

“Saya rasa lebih selamat sekarang. Jadi, ini merupakan peluang untuk saya membuat simpanan dalam TH sebagai persediaan awal untuk menunaikan ibadah haji nanti. Usaha ini sangat baik dan wajar diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.