
DAMSYIK, 11 Ogos – Bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad, dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Damsyik selepas didapati bersalah atas pelbagai jenayah yang dilakukan ketika negara itu dilanda perang saudara selama hampir 14 tahun.
- Mahkamah mensabitkan tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang termasuk pembunuhan, penyeksaan dan pembunuhan kanak-kanak.
- Perbicaraan diadakan in absentia kerana Assad berada dalam buangan di Rusia selepas digulingkan pada Disember 2024.
- Beberapa bekas pegawai kanan, termasuk Maher al-Assad, Fahd al-Freij dan Atif Najib, dijatuhi hukuman mati; Najib hadir di mahkamah.
Hukuman itu dijatuhkan secara in absentia, kerana Assad kini berada dalam buangan di Rusia selepas melarikan diri dari Syria susulan kejatuhan rejimnya pada Disember 2024.
Keputusan berkenaan merupakan sabitan jenayah pertama terhadap Assad selepas lebih lima dekad pemerintahan keluarganya di Syria.
Hakim Fakhr al-Din al-Aryan mendapati Assad bersalah atas beberapa kesalahan, termasuk pembunuhan terancang, pembunuhan dengan sengaja terhadap lebih daripada seorang mangsa, pembunuhan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun, penyeksaan sehingga menyebabkan kematian serta penahanan secara sewenang-wenangnya.
Kesalahan tersebut diklasifikasikan mahkamah sebagai jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.
“Beliau dengan ini dijatuhi hukuman mati,” kata hakim ketika membacakan keputusan di mahkamah di Damsyik.
Perbicaraan terhadap Assad dan beberapa bekas pegawai kanan rejimnya bermula pada April lalu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan peralihan Syria untuk mendapatkan keadilan dan mempertanggungjawabkan pihak yang didakwa terlibat dalam kekejaman sepanjang konflik.
Perang saudara Syria tercetus pada 2011 selepas pihak berkuasa ketika itu bertindak keras terhadap demonstrasi pro-demokrasi.
Konflik tersebut kemudiannya mengorbankan kira-kira setengah juta nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman mati terhadap enam bekas pegawai kanan tentera dan keselamatan secara in absentia, termasuk adik Assad, Maher al-Assad, yang pernah mengetuai Divisyen Keempat, sebuah unit elit tentera Syria.
Antara yang turut disabitkan ialah bekas Menteri Pertahanan Fahd al-Freij dan Louay al-Ali, yang pernah mengetuai perisikan tentera di wilayah Daraa pada 2011.
Mereka didapati bersalah atas kesalahan termasuk pembunuhan, menghasut pembunuhan, penyeksaan sehingga menyebabkan kematian serta penahanan berulang secara sewenang-wenangnya, yang dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.
Sepupu Assad, Atif Najib, yang merupakan satu-satunya tertuduh hadir di mahkamah, turut dijatuhi hukuman mati.
Najib, yang pernah mengetuai cawangan keselamatan politik di Daraa, didapati bersalah atas beberapa kesalahan termasuk pembunuhan, pembunuhan sengaja terhadap kanak-kanak bawah 15 tahun serta penyeksaan sehingga menyebabkan kematian.
Mahkamah berkata tindakan yang dilakukan Najib merupakan jenayah terhadap kemanusiaan dan menjatuhkan hukuman paling berat terhadapnya, iaitu hukuman mati.
Najib ditahan pada Januari tahun lalu dan menafikan pertuduhan terhadapnya. Hakim turut berkata tertuduh tidak menunjukkan rasa kesal atas perbuatannya.
Keputusan mahkamah itu disambut oleh keluarga mangsa yang hadir di luar mahkamah, termasuk penduduk dari Daraa yang membawa gambar anggota keluarga mereka yang hilang atau pernah dipenjarakan ketika pemerintahan Assad.
Ramzi Abu Naboud, yang membawa gambar abangnya, Ahmed, berkata keputusan tersebut memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga mangsa walaupun ia tidak mampu mengembalikan mereka yang telah terkorban.
“Syukur kepada Tuhan dan terima kasih kepada badan kehakiman, hari ini kami memperoleh keputusan yang menghangatkan hati,” katanya.
Peguam Amer Kazzaz berkata mereka yang disabitkan mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan sekiranya terdapat kesilapan dalam penggunaan undang-undang atau kesilapan profesional serius oleh mahkamah.
Sementara itu, Human Rights Watch (HRW) mengakui keputusan tersebut mencerminkan penderitaan rakyat Syria selama bertahun-tahun, namun mengulangi pendiriannya menentang hukuman mati dalam semua keadaan.
Menurut wakil HRW, Hiba Zayadin, keadilan sebenar bergantung pada kemampuan Syria membina sistem kehakiman yang kukuh dan berkekalan serta menjamin perbicaraan yang adil.
Suruhanjaya Keadilan Peralihan Syria pula menyifatkan hukuman terhadap Najib sebagai satu pencapaian penting dalam proses mendapatkan pertanggungjawaban terhadap jenayah berat.
Kebangkitan rakyat Syria terhadap pemerintahan Assad bermula di Daraa pada Mac 2011 selepas 15 pelajar ditahan kerana didakwa menulis slogan antipemerintah pada dinding.
Penduduk mendakwa pelajar berkenaan diseksa, sekali gus mencetuskan demonstrasi yang menuntut pembebasan mereka.
Tindakan keras pasukan keselamatan terhadap demonstrasi tersebut kemudiannya mencetuskan gelombang bantahan di seluruh Syria.
Krisis itu berkembang menjadi perang saudara berpanjangan yang meragut ratusan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Keluarga Assad memerintah Syria selama lebih lima dekad, dengan Bashar al-Assad mengambil alih jawatan presiden pada 2000 selepas kematian bapanya, Hafez al-Assad.
Assad digulingkan pada Disember 2024 selepas serangan pantas kumpulan pemberontak yang berjaya menawan Damsyik, sebelum beliau melarikan diri ke Rusia. – AFP