Wabak Ebola di Congo ragut 2,011 nyawa

Foto REUTERS

KINSHASA, 11 Ogos – Wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) telah meragut 2,011 nyawa daripada 4,381 kes disahkan dijangkiti virus berkenaan, menurut pegawai Congo pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wabak hampir menyamai krisis 2018 hingga 2020 yang mencatat hampir 2,300 kematian daripada kira-kira 3,500 kes.
  • Wabak diisytihar pada 15 Mei dan dipercayai telah merebak beberapa minggu sebelum itu di timur dan timur laut yang bergolak.
  • Ini merupakan gelombang ke-17 dan kini dianggap sebagai wabak terbesar dalam sejarah Republik Demokratik Congo.
  • WHO mengesyorkan ujian klinikal penuh untuk menilai perlindungan silang vaksin Ervebo; beberapa vaksin Bundibugyo berada pada peringkat ujian awal.

Jumlah kematian terbaharu itu menghampiri rekod wabak Ebola paling dahsyat di DRC yang berlaku antara 2018 hingga 2020, apabila hampir 2,300 orang maut daripada kira-kira 3,500 kes yang direkodkan.

Wabak Ebola yang melanda wilayah timur dan timur laut DRC yang bergolak akibat konflik itu diisytiharkan pada 15 Mei, namun dipercayai sudah merebak sejak beberapa minggu sebelumnya.

Ia merupakan gelombang ke-17 wabak penyakit berjangkit berbahaya itu di DRC dan kini dianggap sebagai wabak terbesar dalam sejarah negara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif pakatan vaksin global Gavi, Sania Nishtar, berkata wabak itu berkemungkinan menjadi wabak terbesar yang pernah berlaku.

Kadar kematian akibat wabak semasa itu dianggarkan 45.9 peratus oleh pihak berkuasa kesihatan Congo.

Pada Jumaat lalu, pakar vaksin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan supaya ujian klinikal berskala penuh terhadap manusia dijalankan menggunakan satu-satunya vaksin Ebola yang diluluskan ketika ini.

Langkah itu bertujuan menentukan sama ada vaksin berkenaan mampu memberikan perlindungan silang terhadap strain Ebola yang kini merebak di DRC, yang ketika ini belum mempunyai vaksin khusus.

Vaksin Ervebo terbukti selamat dan berkesan terhadap strain Zaire, iaitu strain virus Ebola yang lebih lazim.

Pakar WHO memaklumkan data awal, khususnya daripada ujian ke atas haiwan, menunjukkan vaksin itu mungkin turut memberikan sedikit perlindungan terhadap strain Bundibugyo yang jarang berlaku dan kini merebak dengan pantas di DRC.

Dua vaksin berpotensi untuk strain Bundibugyo kini berada pada peringkat awal ujian klinikal terhadap manusia, manakala satu lagi vaksin sedang dibangunkan untuk mencapai peringkat tersebut.

Ebola merebak melalui sentuhan dengan cecair badan dan menyebabkan demam berdarah (haemorrhagic fever). – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.