Tiada aset TH dijual kepada orang bukan Islam

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kerajaan memberikan jaminan dan penegasan tegas bahawa tiada sebarang aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada orang bukan Islam mahupun masyarakat Cina sepanjang pelaksanaan pelan penstrukturan semula institusi berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aset dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd, SPV milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.
  • TH diberi Right of First Refusal untuk membeli semula aset mengikut penilaian komersil dan kesesuaian pelaburan.
  • Laporan RCI dedahkan krisis kewangan TH akibat kelemahan tadbir urus, campur tangan politik dan pelaburan berisiko tinggi menyebabkan kerugian berbilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menegaskan, dakwaan liar yang dilemparkan sesetengah pihak berhubung penjualan aset strategik institusi keramat umat Islam itu disifatkan sebagai fitnah jahat.

“Saya ingin menegaskan bahawa tiada aset yang dijual kepada bukan Islam atau kaum Cina, seperti yang difitnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menanam kebencian dan melakukan hasutan.

“Aset berkenaan merupakan hak milik Urusharta Jamaah, iaitu syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan,” katanya di Parlimen di sini hari ini.

Menerusi Penerangan Menteri berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat, kesemua aset yang terjejas sebenarnya dipindahkan sepenuhnya kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Langkah penstrukturan itu juga diperkukuhkan menerusi pemberian Right of First Refusal, yang membolehkan TH membeli semula mana-mana aset terbabit mengikut penilaian komersil dan kesesuaian pelaburan.

Buktinya, TH baru-baru ini telah berjaya mengambil alih semula tanah di Tun Razak Exchange (TRX) dan ladang kelapa sawit UJ Estates pada nilai pasaran semasa.

Pembentangan laporan RCI itu turut mendedahkan keadaan sebenar krisis kewangan yang pernah melanda TH, dengan masalah kemerosotan dana mula membarah sejak lebih sedekad lalu akibat kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik.

Tekanan kewangan itu semakin kritikal menjelang suku keempat 2018 apabila jurang antara aset dan liabiliti TH melebihi RM10 bilion. Keadaan itu menyebabkan TH berada dalam kedudukan tidak solven serta berdepan risiko pengeluaran wang secara besar-besaran oleh pendeposit.

Laporan RCI itu turut mendedahkan beberapa pelaburan berisiko tinggi yang mengakibatkan TH menanggung kerugian berbilion ringgit.

Ia termasuk pajakan empat hotel di Mekah dan Madinah dengan syarikat Al-Rawda, kerugian pelaburan dalam saham FGV yang melebihi RM1 bilion serta penglibatan dalam Putrajaya Perdana yang dikaitkan dengan kemelut urus niaga 1MDB.

Pendedahan berani itu susulan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan agar siasatan dijalankan secara telus, menyeluruh dan tanpa sebarang kompromi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.