
GENEVA, 11 Ogos – Junta Myanmar telah meningkatkan serangan udara terhadap orang awam, ketika konflik yang terus melanda negara itu tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda, kata penyiasat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.
- IIMM mendokumentasikan serangan udara yang sengaja menyasarkan kediaman, sekolah, kemudahan perubatan dan rumah ibadat, menyebabkan kematian, kecederaan dan kemusnahan.
- Bukti menunjukkan penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan dan keganasan seksual di pusat tahanan dikendalikan tentera.
- IIMM mengumpul dan memproses lebih 28 juta bahan bukti dari lebih 1,600 sumber untuk menyokong usaha pendakwaan dan pertanggungjawaban.
Menurut Mekanisme Penyiasatan Bebas PBB bagi Myanmar (IIMM), serangan sedemikian serta jenayah lain terhadap orang awam semakin meningkat menjelang pilihan raya umum pada Januari lalu, dan berterusan tanpa henti sejak itu.
Pilihan raya di dimenangi secara besar-besaran oleh parti protentera iaitu Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan (USDP).
Laporan tahunan IIMM bagi tempoh Julai 2025 hingga Jun 2026 mendokumentasikan corak serangan udara yang sengaja menyasarkan orang awam, penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan dan keganasan seksual yang dilakukan oleh tentera Myanmar.
“Kekerapan dan intensiti jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh tentera Myanmar dan pelbagai kumpulan bersenjata terus meningkat,” menurut laporan tersebut.
Laporan itu juga menyatakan serangan udara yang menyasarkan kediaman, sekolah, kemudahan perubatan, rumah ibadat dan kem untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal, telah menyebabkan kematian, kecederaan dan kemusnahan.
“Serangan menggunakan paramotor dan dron menyukarkan orang awam mengesan serta mengehadkan keupayaan mereka untuk melarikan diri atau mencari perlindungan.
IIMM juga memaklumkan, konflik di negeri Rakhine yang menyaksikan pertempuran antara junta dengan Tentera Arakan, sebuah kumpulan pemberontak etnik minoriti meningkat dengan ketara sepanjang tempoh laporan tersebut dibuat.
Di seluruh negara, konflik antara rejim tentera dan pelbagai kumpulan bersenjata tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Pihak penyiasat telah mengumpul dan menganalisis bukti yang banyak mengenai penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan dan keganasan seksual di pusat tahanan kendalian tentera.
Kes-kes itu termasuk yang dikaitkan dengan undang-undang 2025 yang memperuntukkan kritikan terhadap pilihan raya sebagai satu kesalahan jenayah.
“Ramai individu telah ditahan bawah undang-undang tersebut dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta hukuman mati kerana aktiviti seperti memuat naik komen kritikal di media sosial.”
“Di sebalik setiap bukti yang kami kumpulkan terdapat individu yang kehidupannya telah musnah akibat jenayah ini,” kata Nicholas Koumjian yang mengetuai IIMM.
“Masyarakat di seluruh Myanmar bukan sahaja hidup bawah ancaman keganasan yang berterusan, malah turut berdepan kesan mendalam dan berpanjangan daripada apa yang telah mereka lalui.
“Ini menggariskan keperluan mendesak untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan, ” tegas beliau.
IIMM ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 2018 untuk mengumpul bukti jenayah antarabangsa paling serius serta menyediakan fail bagi tujuan pendakwaan jenayah.
Setakat ini, badan itu telah mengumpul dan memproses lebih 28 juta maklumat dan bahan bukti daripada lebih 1,600 sumber.
Bahan tersebut termasuk keterangan saksi, gambar, video, bahan audio, dokumen, peta, imejan geospatial, hantaran media sosial dan bukti forensik.
Gambia telah memfailkan kes terhadap Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague dengan mendakwa negara itu melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948 ketika operasi pembersihan etnik Rohingya pada 2016 dan 2017. – AFP