
KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Khas merentasi agensi ditubuhkan bagi menyiasat secara mendalam penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH).
- Cadangan tubuhkan Suruhanjaya Khas rentas agensi bagi menyiasat penemuan Laporan RCI berkaitan Tabung Haji.
- Suruhanjaya dicadangkan dianggotai PDRM, SPRM, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti bagi siasatan menyeluruh.
- Pertikaian pelaburan TH termasuk kaitan dengan syarikat berkaitan 1MDB dan beberapa pelaburan yang merosot nilai.
- Keraguan terhadap penilaian aset, pengumuman hibah serta pembayaran bonus yang tidak sejajar dengan kemampuan sebenar.
Beliau berkata Suruhanjaya Khas itu wajar dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).
Beliau turut membangkitkan isu pelaburan TH serta kaitannya dengan syarikat yang mempunyai hubungan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ini merupakan satu penemuan yang mengecewakan kerana wang pendeposit telah diseleweng dan dikaitkan dengan skandal terbesar dunia,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata cadangan itu dibangkitkannya ketika mengambil bahagian dalam Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan RCI berkaitan Tabung Haji.
Dalam perbahasan itu, Amirudin turut mempersoalkan isu hibah dan penilaian aset TH.
“Antaranya aset TH Plantations yang dinilai pihak pengurusan pada RM4.6 bilion, sedangkan nilai yang disahkan PricewaterhouseCoopers (PwC) ialah RM556 juta.
“Pada 2017, hibah sebanyak 6.25 peratus diumumkan ketika kemampuan sebenar dilaporkan hanya sekitar empat peratus,” katanya.
Amirudin turut membangkitkan pembayaran bonus berjumlah RM266 juta bagi tempoh 2013 hingga 2017 serta beberapa pelaburan bermasalah.
Antaranya pelaburan RM526.16 juta dalam Deru Semangat yang nilainya merosot kepada RM32 juta dan RM364.31 juta dalam Trurich Resources yang kemudiannya kehilangan keseluruhan nilainya.
“Pendirian saya jelas, amanah rakyat dan wang simpanan ummah wajib dilindungi,” katanya.
Laporan RCI Tabung Haji setebal 211 halaman diterbitkan JAKIM pada 29 Julai lalu.