
ALOR SETAR, 11 Ogos – Peserta tuan rumah Kedahfm, Mohamad Faqhrul Azhar Mohamad Zabandi dinobatkan sebagai juara Uji Bakat Bintang P.Ramlee 2026 peringkat Zon Utara yang berlangsung di Auditorium Jabatan Penyiaran Kedah di sini.
- Melayakkan beliau mewakili Zon Utara ke peringkat Kebangsaan Bintang P.Ramlee 2026 pada Oktober.
- Persembahan 'Putus Sudah Kaseh Sayang' diserikan gimik drama angkat konflik keluarga, pengorbanan, kemiskinan dan kesetiaan cinta.
- Faqhrul terkejut menang; puji pesaing kuat, beberapa peserta guna gimik ala filem P. Ramlee seperti watak buta dan saksofon.
- Penerbit puji peserta; juri kagum suara Faqhrul asli seperti P. Ramlee. Panel juri: Musly Ramlee, Megat Mohd Noor, Abbas Abu Bakar.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan beliau untuk mewakili Zon Utara pada Bintang P.Ramlee 2026 peringkat Kebangsaan yang dijadual diadakan pada Oktober nanti.
Mohammad Faqhrul berjaya menambat hati juri menerusi persembahan lagu ‘Putus Sudah Kaseh Sayang’ yang turut diserikan dengan gimik drama yang mengangkat kisah konflik keluarga, pengorbanan, kemiskinan dan kesetiaan cinta.
“Alhamdulillah, saya cukup gembira. Memang saya tidak menjangka akan memenangi pertandingan ini sebab semua peserta sangat kuat.
“Ada yang menggunakan pelbagai gimik mengikut filem P. Ramlee termasuk membawa watak buta dan ada yang membawa saksofon sebagai Kassim Selamat,” katanya.

Beliau menewaskan empat peserta lain iaitu Hamidi Mohamad Yazid (LANGKAWIfm), Mohd Ridzuan Md Taib (MutiaraFM), Ahmad A’adnin Abd Razak (PerlisFM) dan Muhammad Amir Suffi Mohamad Termizi (PERAKfm).
Sementara itu, Penerbit Uji Bakat Bintang P.Ramlee 2026 Zon Utara, Firdaus S.Moktar berkata pihaknya berpuas hati dengan persembahan daripada kesemua peserta.
“Tahniah juga kepada semua peserta dari PerlisFM, LangkawiFM, PerakFM dan MutiaraFM yang telah melakukan yang terbaik.
“Saya sendiri tidak sangka tuan rumah menjadi juara. Faqhrul juga antara individu yang tular dengan suara P. Ramlee dan apabila didengar secara langsung, suaranya memang asli dan tulen,” ujarnya.
Ujibakat tersebut dinilai oleh tiga juri yang diketuai oleh Juara Bintang P.Ramlee 1996, Musly Ramlee, Pensyarah Muzik Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis, Megat Mohd Noor dan Komposer, Abbas Abu Bakar.