
WASHNGTON, 11 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan akan menuntut pampasan konflik daripada Iran sebagai sebahagian daripada mana-mana rundingan damai pada masa hadapan.
- Tuntutan dibuat berikutan Iran menuntut ganti rugi atas kerosakan sepanjang konflik.
- Pampasan dikehendaki bagi keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera akibat bom serta konflik yang disokong Iran.
- Mengurangkan pendekatan agresif, memilih tekanan ekonomi bukan serangan ketenteraan dan arahkan wakil sertakan tuntutan dalam rundingan.
Tuntutan tersebut dibuat berikutan siri serangan dan kekejaman yang didakwa didalangi serta disokong Tehran sejak beberapa dekad lalu.
Menurut Trump, langkah itu diambil selepas pihak Iran terlebih dahulu menyuarakan hasrat menuntut ganti rugi atas kerosakan yang dialami mereka sepanjang konflik ketenteraan yang berlarutan sejak lima bulan lalu.
“Iran meminta pampasan atas kerosakan yang berlaku kepada mereka. Justeru, saya turut menuntut pampasan daripada Iran bagi pihak semua mangsa yang terkorban dan cedera parah akibat bom serta pelbagai konflik yang ditaja mereka,” katanya menerusi hantaran di platform Truth Social pada Isnin.
Ulasan terkini itu hadir selepas Trump membayangkan kini mengurangkan pendekatan agresif terhadap konflik berkenaan, sekali gus sedia mengenakan tekanan ekonomi berbanding melancarkan serangan ketenteraan susulan.
Rundingan damai antara kedua-dua pihak ketika ini masih tertangguh.
Dalam hantaran sama, Trump turut membangkitkan insiden pengeboman kapal perang USS Cole pada tahun 2000 serta menuntut ganti rugi dibayar kepada keluarga ratusan ribu penunjuk perasaan yang didakwa dibunuh oleh Iran sepanjang 50 tahun lalu.
“Saya telah mengarahkan wakil saya untuk memasukkan tuntutan ini secara tegas dalam mana-mana rundingan masa hadapan,” tambah Trump.- AFP