Jaissle akui Newcastle perlu perbaiki kelemahan

Pengendali Newcastle United, Matthias Jaissle / REUTERS

VALENCIA, 10 Ogos – Pengurus baharu kelab Newcastle, Matthias Jaissle mengakui pasukan berkenaan masih perlu memperbaiki kelemahan selepas menyaksikan pasukannya menang 2-1 ke atas Valencia pada aksi persahabatan pramusim di Stadium Mestalla pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Yoane Wissa menjaringkan dua gol sebagai pemain gantian untuk membalikkan keadaan.
  • Newcastle ketinggalan awal selepas Filip Ugrinic menjaringkan gol pada minit keempat.
  • Elanga diusung keluar selepas benturan; Jose Gaya dilayangkan kad merah; penilaian awal perubatan menunjukkan tiada kecederaan serius.
  • Jaissle menggantikan Eddie Howe dan berdepan tugas membentuk semula pasukan; memberi peluang pemain muda termasuk Sean Steur.

Pada perlawanan berkenaan, Newcastle ketinggalan seawal minit keempat apabila Filip Ugrinic meledak gol pembukaan buat Valencia.

Bagaimanapun ‘The Magpies’ bangkit pada babak kedua menerusi dua gol pemain gantian, Yoane Wissa.

Jaissle bagaimanapun tidak mahu pemainnya terlalu meraikan kemenangan berkenaan, sebaliknya menganggapnya sebagai sebahagian daripada proses membentuk pasukan baharu.

“Ini perlawanan persahabatan. Kami tidak akan masuk ke bilik persalinan dan meraikannya secara berlebihan.

“Kami tahu apa yang perlu dilakukan. Ini masih pramusim dan kami masih perlu memperbaiki banyak perkara. Ini satu perjalanan,” katanya.

Kemenangan itu turut dibayangi kebimbangan terhadap bintang Sweden, Anthony Elanga, yang terpaksa diusung keluar selepas bertembung dengan pertahanan Valencia, Jose Gaya.

Gaya dilayangkan kad merah susulan insiden berkenaan.

Jaissle bagaimanapun berkata penilaian awal menunjukkan kecederaan Elanga tidak serius.

“Saya sememangnya bimbang, tetapi kini lebih tenang kerana laporan daripada bahagian perubatan hampir semuanya positif.

“Tiada kecederaan serius dan kami berharap dia boleh kembali berlatih minggu depan,” katanya.

Jaissle, 38, dilantik menggantikan Eddie Howe minggu lepas dan berdepan tugas mencabar bagi membentuk semula skuad Newcastle yang kehilangan beberapa tonggak utama termasuk Bruno Guimaraes, Sandro Tonali dan Anthony Gordon.

Pengendali dari Jerman itu turut memberi peluang kepada beberapa pemain muda seperti penjaga gol Lukas Hornicek, pemain tengah Aladji Bamba dan pemain sayap Bazoumana Toure membuat penampilan sulung.

Manakala pemain berusia 18 tahun, Sean Steur, turut mencuri perhatian selepas masuk sebagai pemain gantian.

“Masa adalah kunci. Mereka masih muda. Dalam bola sepak, khususnya di peringkat tertinggi, semuanya tidak pernah mudah. Tetapi kami di sini untuk membantu mereka,” ujarnya.

Newcastle akan memulakan kempen Liga Perdana Inggeris menentang juara bertahan Liverpool pada 23 Ogos. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.