
PARIS, 10 Ogos – Kelab gergasi Liga Perancis, Paris Saint Germain (PSG) telah menandatangani semula pemain pertahanan Perancis, Lucas Digne dari kelab Aston Villa dengan perjanjian tiga tahun sehingga 2029, umum kelab berkenaan pada Ahad.
- Media British memaklumkan PSG mengaktifkan klausa pelepasan 8.5 juta Pound untuk Digne.
- Beliau kembali ke PSG buat kali kedua, selepas 2013–2015, membantu menjuarai dua Ligue 1, Piala Perancis dan dua Piala Liga.
- Digne menyifatkan kepulangan itu sebagai penghormatan dan bertekad mencurahkan pengalaman untuk membantu PSG memburu kejuaraan.
Butiran nilai perpindahan tidak dinyatakan oleh kedua-dua kelab berkenaan.
Namun, media British memaklumkan PSG mengaktifkan klausa pelepasan sebanyak 8.5 juta Pound atau (AS$11.46 juta) buat tonggak pertahanan kiri itu.
Digne kembali ke ibukota Perancis itu buat kali kedua selepas bersama PSG dari 2013 sehingga 2015.
Sepanjang tempoh berkenaan, beliau berjaya membantu PSG memenangi dua kejuaraan Ligue 1, Piala Perancis dan dua Piala Liga.
Beliau kemudiannya berkelana ke La Liga menyertai Barcelona pada 2016.
Digne membuat 46 penampilan bersama kelab gergasi Sepanyol berkenaan selama dua musim sebelum berhijrah ke Liga Perdana Inggeris dengan menyertai Everton pada 2018.
Di kelab berkenaan, dia menghabiskan masa selama empat musim sebelum menyertai Aston Villa.
Sementara itu, Digne dalam kenyataan menyifatkan kepulangannya ke kelab berkenaan sebagai satu penghormatan buat dirinya.
Beliau turut menyatakan keterujaannya untuk membantu PSG memburu kejuaraan.
“Saya tidak sabar untuk memulakan lembaran baharu bersama PSG dan mencurahkan kesemua pengalaman yang dimiliki demi membantu pasukan”, ujar beliau. – REUTERS