
KUALA LANGAT, 10 Ogos – Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam tangki penyimpanan air sedalam 10 meter di Kuala Langat Power Plant di sini, pada malam Ahad.
- Mangsa Farhan Syazwan, 34, pekerja kontrak, ditemukan lemas kira-kira pukul 4 pagi Isnin.
- JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.26 malam; jentera BBP Banting tiba 23 minit kemudian.
- Mangsa menjalankan kerja penyelenggaraan dan penggantian kayu di menara penyejuk bersama rakan sekerja.
- Mangsa ditemukan dalam salah sebuah dua kolam selepas kerja menyedut air; operasi 12 anggota tamat pukul 5.05 pagi.
Mangsa Farhan Syazwan, 34, seorang pekerja kontrak ditemukan lemas kira-kira pukul 4 pagi Isnin selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan selama beberapa jam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 7.26 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting tiba di lokasi 23 minit kemudian.
Ketika kejadian, mangsa sedang menjalankan kerja penyelenggaraan dan penggantian kayu di kawasan menara penyejuk bersama seorang rakan sekerja.
“Rakan mangsa keluar dari lokasi untuk mengambil kayu, namun apabila kembali kira-kira 15 minit kemudian, mangsa sudah tidak kelihatan.
“Pada awalnya, rakannya menyangkakan mangsa pergi ke tandas sebelum mengesyaki mangsa berkemungkinan terjatuh selepas tidak muncul,” katanya dalam satu kenyataan.
Rakan mangsa kemudian memaklumkan perkara itu kepada penyelia.
Mangsa berjaya ditemukan dalam salah sebuah daripada dua kolam yang dikosongkan selepas kerja-kerja menyedut air dilaksanakan dan disahkan telah meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan 12 anggota itu tamat pada pukul 5.05 pagi.
Operasi turut dibantu Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP KLIA dan BBP Pelabuhan Klang.