Seri JDT-Chelsea: Munoz bangga prestasi anak buah, mahu kualiti permainan diteruskan

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 10 Ogos – Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz meluahkan rasa bangga dengan prestasi permainan yang dipamerkan anak buahnya dalam aksi persahabatan antarabangsa dengan Chelsea pada Ahad malam di Stadium Sultan Ibrahim di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemain mempamerkan permainan berkualiti pada pramusim; perlu mengekalkan kualiti dan semangat permainan.
  • JDT seri 3-3 dengan juara dunia Kelab FIFA, Chelsea, disaksikan lebih 28,000 penonton.
  • Pasukan akan mempertingkat persiapan untuk menghadapi musim baharu yang dijangka lebih sukar.
  • Jurulatih gembira dengan persembahan; pasukan akan terus bekerja keras meningkatkan persiapan.

Beliau berkata prestasi tersebut sekali gus membuktikan skuad kendaliannya mampu beraksi pada tahap terbaik meskipun berdepan dengan pasukan bertaraf dunia itu.

“Saya berterima kasih kepada para pemain yang telah mempamerkan aksi terbaik pada malam ini. Permainan berkualiti ini berjaya kita berikan pada pramusim.

“Kita perlu mengekalkan kualiti dan semangat permainan seperti ini,” katanya.

Juara dunia Kelab FIFA, Chelsea dan JDT terikat 3-3 dalam aksi persahabatan antarabangsa yang disaksikan lebih 28,000 penonton.

Sementara itu, Xisco Munoz turut memberitahu JDT akan terus mempertingkat persiapan bagi menghadapi musim baharu.

“Kami perlu bersedia untuk musim baharu kerana sudah pasti musim kali ini akan lebih sukar.

“Saya gembira dengan persembahan pemain ketika beraksi dengan Chelsea kerana tidak mudah untuk skor seri pada aksi ini dan kami akan terus bekerja keras lagi,” katanya lagi.

Aksi persahabatan antarabangsa itu merupakan perlawanan terakhir Chelsea dalam Jelajah Pramusim di Asia.

Pasukan itu akan kembali ke Stamford Bridge untuk menentang Real Sociedad pada 15 Ogos sebelum membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Fulham pada 25 Ogos.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.