
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan meminta semua pemimpin politik khususnya yang membawa imej atau nama Islam supaya lebih bertanggungjawab semasa mengeluarkan kenyataan.
- Pemimpin politik bertanggungjawab; elakkan kenyataan tanpa bukti yang boleh menimbulkan ketakutan, prasangka dan perpecahan masyarakat.
- Tuduhan bahawa DAP memimpin agenda menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam dianggap tidak tepat, berbahaya dan bercanggah dengan Perlembagaan.
- Pendekatan sedemikian bercanggah dengan tuntutan syariat yang menekankan keadilan, tabayyun dan larangan membuat tuduhan tanpa bukti.
- Kedudukan Islam, hak istimewa Melayu dan anak negeri dilindungi oleh Perlembagaan; kuasa pemerintahan tertakluk kepada institusi, undang-undang dan semak imbang.
Pengerusinya Baba Zulkarnain Harun berkata, kenyataan yang dibuat tanpa bukti yang jelas dan sahih boleh menimbulkan ketakutan, prasangka serta perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan agenda menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam adalah tidak tepat serta berbahaya selain tidak selari dengan prinsip Perlembagaan.
“Lebih membimbangkan, pendekatan politik sedemikian bercanggah dengan tuntutan syariat yang mewajibkan keadilan, tabayyun dan larangan membuat tuduhan tanpa bukti.
“Kenyataan tersebut juga memperlihatkan kekeliruan dalam memahami kerangka demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, serta kegagalan melihat maslahah siyasiyyah dalam konteks sebuah negara demokrasi yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, Malaysia bukan negara yang membolehkan mana-mana parti politik bertindak sesuka hati kerana kuasa pemerintahan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, institusi raja-raja Melayu, parlimen, undang-undang serta prinsip semak dan imbang.
“Islam mempunyai kedudukan yang jelas melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dilindungi melalui Perkara 153.
“Pindaan terhadap beberapa perkara tertentu yang menyentuh kedudukan tersebut turut tertakluk kepada perlindungan dan tatacara perlembagaan,” tambahnya lagi.