Syor, dapatan RCI Tabung Haji disiasat tanpa kompromi – PM

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Setiap syor dan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji akan disiasat secara tuntas dan menyeluruh tanpa sebarang kompromi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendirian kerajaan selaras titah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Ibrahim untuk memastikan amanah pendeposit Tabung Haji terus terpelihara.
  • Sesiapa yang menyalahgunakan kepercayaan pendeposit akan diheret ke muka pengadilan menurut lunas undang-undang.
  • Kerajaan akan terus mengutamakan tatakelola baik, ketelusan, kebertanggungjawaban dan tindakan tegas, termasuk tindakan terhadap isu FELDA dan kawalan sempadan diperkuat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta iltizam kerajaan untuk memastikan amanah jutaan pendeposit Tabung Haji terus terpelihara.

“Tabung Haji menguruskan amanah yang lahir daripada hasil keringat jutaan rakyat, termasuk petani, penjawat awam dan golongan berpendapatan sederhana serta rendah yang menabung selama bertahun-tahun demi menyahut panggilan haji.

“Amanah sebesar ini tidak seharusnya dikhianati. Justeru, sesiapa yang didapati menyalahgunakan kepercayaan tersebut hendaklah diheret ke muka pengadilan menurut lunas undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri memaklumkan, perkara itu antara perkembangan yang disembah maklum kepada Sultan Ibrahim pada sesi menghadap di Istana Bukit Tunku, di sini, hari ini.

Selain isu Tabung Haji, Datuk Seri Anwar turut menyembah maklum mengenai perkembangan siasatan FELDA serta laporan Pasukan Petugas Khas yang sedang diperhalusi kerajaan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.

“Kerajaan akan terus berpegang kepada prinsip tatakelola baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pengkhianatan amanah tanpa mengira kedudukan atau pangkat,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyatakan, kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara akan terus diperkukuh menerusi penguatkuasaan, pemantauan berterusan dan kerjasama antara agensi bagi membendung jenayah rentas sempadan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.