RTM perkasa sambutan Bulan Kebangsaan, terus dekati rakyat

Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Jabatan Penyiaran Malaysia dan Majlis Apresiasi Petugas Siaran Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pelbagai pengisian sambutan Bulan Kebangsaan diperkasa menerusi kekuatan platform penyiaran RTM serta jaringan komuniti di seluruh negara bagi mendekati rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pandangan, cadangan dan idea penonton serta pendengar menjadi input penting bagi memastikan pengisian Bulan Kebangsaan relevan.
  • Penggunaan media sosial dan platform digital membolehkan RTM berinteraksi lebih dekat serta memperkayakan kandungan sambutan.
  • Kerjasama bersepadu dengan kementerian, agensi, swasta dan masyarakat sivil menyemarakkan semangat patriotisme melalui pelbagai saluran penyiaran.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, pandangan, cadangan dan idea daripada penonton serta pendengar setia RTM antara input penting dalam memastikan pengisian sempena Bulan Kebangsaan terus relevan dengan masyarakat.

Penggunaan platform digital dan media sosial membolehkan RTM berinteraksi lebih dekat dengan rakyat, selain menerima pandangan serta idea bagi memperkayakan kandungan sempena Bulan Kebangsaan.

“Kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua, terutamanya penonton dan pendengar setia RTM yang sentiasa memberikan kita input, cadangan serta kritikan yang konstruktif, khususnya apabila memasuki Bulan Kebangsaan ini.

“Menerusi pelbagai platform yang kita manfaatkan, terutamanya media sosial, kita dapat mendekati warga Malaysia secara lebih meluas yang banyak memberikan input serta idea-idea sepanjang Bulan Kebangsaan ini,” katanya.

RTM turut memanfaatkan kekuatan Unit Berita Ehwal Semasa, bahagian hiburan, Orkestra RTM serta rangkaian 34 stesen radio di seluruh negara bagi memastikan pengisian Bulan Kebangsaan dapat disampaikan secara meluas.

“Kita memanfaatkan segala kekuatan kita, bukan sahaja dari segi Unit Berita Ehwal Semasa dan hiburan, tetapi juga kita memanfaatkan kekuatan Orkestra RTM kita dan juga hubungan kita yang strategik di lapangan bersama komuniti melalui pasukan-pasukan RTM di seluruh pelosok negara,” katnya lagi.

Pasukan RTM di negeri-negeri sentiasa berada di lapangan bagi merasai denyut nadi rakyat, selain menjalin kerjasama dengan komuniti setempat serta rakan strategik.

Usaha itu turut melibatkan kerjasama bersama Kementerian Komunikasi, pelbagai jabatan, agensi dan kementerian, selain pihak swasta, korporat serta masyarakat sivil.

Kerjasama bersepadu berkenaan penting bagi memastikan semangat patriotisme dapat disemarakkan menerusi pelbagai pendekatan serta saluran penyiaran.

10 pemenang gambar terbaik dalam kalangan warga RTM bagi ‘Pertandingan Gambar Tercantik Dengan Trofi Piala Dunia FIFA 2026’

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Jabatan Penyiaran Malaysia dan Majlis Apresiasi Petugas Siaran Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 di Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media.

Pada majlis sama, 10 pemenang gambar terbaik dalam kalangan warga RTM bagi ‘Pertandingan Gambar Tercantik Dengan Trofi Piala Dunia FIFA 2026’ turut diraikan bersama-sama petugas siaran Piala Dunia FIFA 2026.

Para pemenang ialah Emilina Mohd Zamri dari Radio Klasik, Mohd Azmir Ahmad@Muhammad (Unit Auditorium, SPSTV), Nerina Elli dan Ami Aziena Talib (Unit Hiburan TV) dan Saiful Aziman Mazlan (Unit Kandungan Kreatif).

Selain itu turut diumumkan sebagai pemenang ialah Azaril Ameer Yahaya (Saluran TV1), Siti Nur Athirah Zulkhairi (Bahagian Khidmat Pengurusan Seksyen Sumber Manusia, Unit Psikologi), Mohd Hafizol Ramli (Unit Visual, Unit Multimedia), Nurul Fazlin Natasya Saroni (KLFM) dan Raja Mormayuzi Raja Kamrudin (MDI/STM/Unit Teknikal ICT).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.