
KEMAMAN, 6 Ogos – Pengguna Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) menggesa pihak berkaitan dapat mempertingkatkan aspek tahap keselamatan di sepanjang lebuh raya itu susulan banyak berlaku kemalangan membabitkan haiwan liar.
- Pengguna LPT2 menggesa pihak berkaitan mempertingkatkan keselamatan selepas banyak kemalangan melibatkan haiwan liar.
- Pihak konsesi sedang membaiki pagar rosak di lokasi bagi mengelakkan haiwan liar memasuki lebuh raya.
- Pengguna bimbang keselamatan pengguna waktu malam dan mahu tindakan segera serta pemantauan di kawasan berisiko.
- Cadangan langkah efisien termasuk rondaan lebih kerap, pemasangan lampu jalan, papan tanda amaran dan pagar lebih kukuh.
Dalam kemalangan terbaharu dua hari lalu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) telah merempuh sekumpulan gajah liar berhampiran susur keluar Plaza
Tol Cheneh, di sini.
Kejadian itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna lebuh raya terutamanya mereka yang sering menggunakan laluan berkenaan pada waktu malam.
Tinjauan RTM di lokasi kemalangan mendapati pihak konsesi lebuh raya sedang melakukan kerja-kerja membaiki pagar yang rosak di kawasan kejadian bagi
mengelakkan haiwan liar masuk ke kawasan lebuh raya.
Menurut pengguna Muhammad Afiq Jusoh, insiden kehadiran gajah liar di atas lebuh raya amat mengejutkan dan berharap langkah pencegahan lebih berkesan dapat dilakukan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Kami bimbang kejadian seperti ini boleh mengancam keselamatan semua pengguna yang melalui lebuh raya ini. Setakat yang saya tahu, sebelum ini belum pernah berlaku kes gajah melintas di mana-mana lebuh raya.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Azman Mohammad pula berpendapat pengurusan lebuh raya bersama pihak berkaitan perlu mempertingkat langkah keselamatan dan pemantauan di kawasan berisiko.
“Sebelum ini kita pernah mendengar kejadian membabitkan harimau, dan kini melibatkan gajah pula. Keadaan ini amat membimbangkan kerana apabila gajah sudah mula menggunakan laluan tersebut, haiwan itu berkemungkinan akan terus melaluinya pada masa akan datang,” katanya.
Pengguna berharap tindakan segera diambil pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan semua pengguna LPT2 terutama musim haiwan liar sering keluar dari habitatnya untuk melintas jalan.
Langkah lebih efisien perlu diambil termasuk melakukan rondaan lebih kerap, memasang lampu jalan dan papan tanda amaran serta memasang pagar lebih kukuh di kawasan laluan haiwan liar.
Dalam kejadian dua hari lalu itu pasangan suami isteri yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir Gajah cedera selepas
kenderaan MPV dinaiki mereka melanggar sekumpulan gajah liar yang melintas jalan lebuh raya berkenaan.