Rakyat Malaysia perlu faham undang-undang sebelum ke luar negara – Pakar

Ketua Pusat Advokasi dan Resolusi Pertikaian, Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mimi Sintian Mohd Bajury / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Rakyat Malaysia yang berhasrat melancong, bekerja atau melanjutkan pengajian ke luar negara dinasihatkan supaya tidak mengambil ringan aspek perundangan negara yang dikunjungi bagi mengelakkan berdepan implikasi undang-undang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Buat kajian awal mengenai undang-undang, budaya dan adat tempatan kerana apa yang dibenarkan di Malaysia mungkin kesalahan di negara lain.
  • Pastikan pasport, visa dan permit sentiasa sah serta elakkan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
  • Gunakan media sosial secara berhemah kerana kandungan dimuat naik boleh membawa implikasi undang-undang.

Ketua Pusat Advokasi dan Resolusi Pertikaian, Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mimi Sintian Mohd Bajury berkata, setiap individu perlu memahami hak serta tanggungjawab mereka kerana kejahilan terhadap undang-undang bukan alasan untuk membebaskan seseorang daripada tindakan undang-undang.

Menurut beliau, rakyat Malaysia perlu membuat kajian awal berkaitan undang-undang, budaya dan adat tempatan sebelum berada di sesebuah negara kerana sesuatu perkara yang dibenarkan di Malaysia mungkin menjadi kesalahan di negara lain.

“Jangan hanya berkata saya tidak tahu perkara itu salah kerana kita tetap bertanggungjawab terhadap perbuatan kita.

“Nasihat saya kepada rakyat Malaysia, khususnya mereka yang ingin melancong, bekerja atau belajar di luar negara, supaya membuat kajian awal mengenai undang-undang, budaya dan adat tempatan kerana apa yang dibenarkan di Malaysia mungkin menjadi kesalahan di negara lain,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di TV1.

Menurutnya, setiap individu perlu memastikan semua dokumen seperti pasport, visa dan permit sentiasa sah serta elakkan daripada tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Selain itu, media sosial juga perlu digunakan secara berhemah kerana kandungan yang dimuat naik boleh membawa implikasi undang-undang.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan jenayah di luar negara tertakluk kepada undang-undang negara tempat kesalahan itu didakwa berlaku berdasarkan prinsip kedaulatan negara atau bidang kuasa wilayah.

Jelasnya, prinsip tersebut memberi kuasa penuh kepada sesebuah negara untuk menggubal, melaksanakan serta menguatkuasakan undang-undang terhadap semua individu, harta benda dan kes jenayah atau sivil yang berlaku dalam wilayahnya.

Bagaimanapun, Mimi Sintian berkata, individu yang ditahan masih mempunyai hak asasi yang dilindungi undang-undang negara berkenaan.

Antara hak tersebut termasuk hak untuk mengetahui pertuduhan yang dikenakan, mendapatkan perbicaraan yang adil, memperoleh khidmat peguam serta membela diri mengikut prosedur perundangan negara terbabit.

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa menghormati undang-undang negara asing dan mendapatkan maklumat berkaitan sebelum melakukan perjalanan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terus terjamin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.