
PUTRAJAYA, 5 Ogos – Pengendali platform media sosial diberi tempoh untuk menyelaraskan mekanisme dalaman masing-masing bagi membolehkan proses mengesan dan menurunkan kandungan berisiko seperti penipuan (scam) dan judi dalam talian dilaksanakan secara automatik di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
- MCMC menerbitkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak dan Kod Mitigasi Risiko sebagai penanda aras pematuhan platform dalam keselamatan dalam talian.
- Pengendali menyatakan kesediaan mematuhi kod tetapi memerlukan masa untuk menyelaraskan mekanisme dalaman bagi penurunan kandungan secara automatik.
- Kandungan judi dan scam masih berleluasa menyebabkan MCMC mengemukakan lebih banyak permohonan penurunan berbanding tahun lalu.
- Jemaah Menteri arah NCEMH dan CMCF mempergiat libat urus dengan pengendali untuk tangani penyebaran kandungan berkaitan tingkah laku bunuh diri.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Mitigasi Risiko (RMC) yang akan menjadi penanda aras pematuhan platform media sosial dalam memperkukuh keselamatan dalam talian.
Katanya, pengendali platform telah menyatakan kesediaan untuk mematuhi kedua-dua kod berkenaan, namun memerlukan sedikit masa bagi menyelaraskan mekanisme dalaman supaya tindakan menurunkan kandungan berbahaya dapat dilaksanakan secara automatik.
“Melalui ONSA, MCMC telah menerbitkan apa yang disebut sebagai CPC dan RMC. Dua kod ini akan diguna pakai untuk memastikan platform-platform mematuhi peraturan berkaitan keselamatan dalam talian termasuk mengenai kandungan scam dan judi dalam talian.
“Kita beri platform-platform ini sedikit masa. Mereka telah menyatakan kesediaan untuk mematuhi tetapi mereka memerlukan sedikit masa untuk penyelarasan mekanisme dalaman untuk menjadikan proses secara automatik bagi menurunkan kandungan yang dikenal pasti ini,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, platform media sosial ketika ini masih belum melaksanakan langkah yang mencukupi untuk mengekang penyebaran kandungan judi dalam talian dan penipuan secara kendiri, menyebabkan MCMC terpaksa mengemukakan lebih banyak permohonan penurunan kandungan berbanding tahun lalu.
Beliau berkata, peningkatan itu turut memberi kesan kepada penggunaan sumber manusia dan kos operasi kerana setiap permohonan penurunan kandungan memerlukan kira-kira 30 minit untuk diselesaikan oleh petugas MCMC.
“Memang tidak boleh dinafikan jumlah permohonan untuk penurunan yang dibuat oleh pihak MCMC kepada platform khusus berkenaan kandungan judi dalam talian dan juga scam melebihi apa yang dimohon pada tahun lepas.
“Setiap satu kandungan memerlukan lebih kurang 30 minit tugasan daripada petugas MCMC. Maka jumlah masa diperlukan untuk jumlah permohonan yang begitu banyak sudah pasti mengakibatkan petugas MCMC membazir banyak masa untuk memfailkan semua dokumen diperlukan,” katanya.
Tambah beliau, kebanyakan kandungan yang dilaporkan merupakan kandungan berulang yang menggunakan imej, video dan teks yang hampir sama, sekali gus menyebabkan petugas perlu mengemukakan permohonan berulang bagi kandungan yang serupa.
Sementara itu, Datuk Seri Fahmi berkata Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di bawah Kementerian Kesihatan serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) perlu mempergiatkan libat urus dengan pengendali platform media sosial bagi menangani penyebaran kandungan berkaitan tingkah laku bunuh diri.
Beliau berkata, perkara itu susulan sidang meja bulat anjuran CMCF bersama NCEMH yang memberi tumpuan kepada amalan pelaporan beretika, penyampaian maklumat secara bertanggungjawab serta kerjasama lebih erat antara pelbagai pihak dalam usaha mencegah tingkah laku bunuh diri.