
PUTRAJAYA, 3 Ogos – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi penekanan serius terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan warga sekolah bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal kondusif, selamat, dan sejahtera.
- Pentadbir sekolah memegang peranan kritikal mewujudkan ekosistem sekolah gembira, harmoni, dan memastikan kesejahteraan guru terjamin.
- Sinergi antara pihak sekolah, guru dan ibu bapa menjadi kunci menangani isu kesihatan mental secara bersepadu.
- Murid dinasihati agar tidak memendam perasaan; segera dapatkan sokongan melalui guru kaunseling apabila menghadapi masalah emosi.
- Penglibatan aktif murid dalam aktiviti kokurikulum terancang membina jati diri dan menangkis kemurungan serta keresahan.
Langkah berkenaan disifatkan penting memandangkan generasi muda hari ini berdepan pelbagai cabaran era digital serta tekanan emosi yang memerlukan sokongan berterusan daripada segenap lapisan masyarakat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya sentiasa komited menangani cabaran tersebut demi memastikan kesejahteraan murid mahupun guru sentiasa terpelihara.
“Pentadbir sekolah memegang peranan kritikal dalam membentuk ekosistem yang gembira dan harmoni. Pada masa sama, sinergi antara pihak sekolah, guru, dan ibu bapa menjadi kunci utama untuk menangani sebarang isu kesihatan mental secara bersepadu.
“Kita mahu memastikan kesejahteraan guru-guru di sekolah sentiasa terjamin. Sehubungan dengan itu, pihak pentadbir memainkan peranan amat penting untuk mewujudkan ekosistem sekolah yang sejahtera, dari peringkat atasan hingga ke peringkat akar umbi.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal kesejahteraan mental kerana hal ini merupakan asas kepada ekosistem dan budaya sekolah yang sihat,” kata beliau ketika merasmikan Anugerah Inspirasi Kokurikulum KPM 2025, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina turut menasihati murid-murid agar tidak memendam perasaan sekiranya mendepani masalah emosi dan sebaliknya memohon bantuan sokongan dengan segera.
“Sebab itu anak-anak, sekiranya mengalami keresahan atau gangguan emosi, segeralah bertemu dengan guru kaunseling untuk mendapatkan bantuan,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan bahawa penglibatan aktif murid dalam aktiviti kokurikulum secara terancang mampu menjadi benteng utama membina jati diri, sekali gus membendung isu kemurungan serta keresahan dalam kalangan pelajar.