
JOHOR BAHRU, 1 Ogos – Stigma sosial terhadap isu kesihatan mental menyebabkan sebahagian mereka yang berdepan masalah itu memilih untuk memendam penderitaan secara bersendirian berbanding mendapatkan bantuan sewajarnya daripada golongan profesional, titah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
- Kajian menunjukkan golongan dewasa dan kanak-kanak sama-sama menghadapi isu kesihatan mental.
- Golongan dewasa menghadapi cabaran seperti ketidakstabilan kewangan, tekanan hutang dan hubungan kekeluargaan rumit.
- Baginda menyeru masyarakat meningkatkan toleransi, belas ihsan dan kesedaran mengenai kesihatan mental.
- Universiti perlu membimbing pelajar membina sahsiah dan kebijaksanaan nilai moral selain ilmu dan kemahiran.
Baginda bertitah berdasarkan kajian yang dijalankan oleh media tempatan menunjukkan golongan dewasa dan kanak-kanak bersama-sama bergelut dalam isu kesihatan mental.
“Golongan dewasa berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidakstabilan kewangan, tekanan akibat hutang dan hubungan kekeluargaan yang rumit.
“Selain itu, 16.5 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun berdepan masalah kesihatan mental manakala, seorang daripada empat remaja berusia 13 hingga 17 tahun mengalami depresi,” titah Baginda.
Sehubungan itu, Raja Permaisuri Agong bertitah supaya masyarakat bersikap lebih bertoleransi dan ihsan terhadap mereka yang berdepan masalah kesihatan mental di samping meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai isu berkenaan.
“Ketika maklumat dan ilmu boleh diakses di hujung jari, kita seolah-olah menjadi semakin kurang bertoleransi, kurang belas ihsan malah cenderung mencari perbezaan daripada persamaan yang sebenarnya kita berkongsi bersama-sama tanpa mengira latar belakang, etnik, kepercayaan mahupun peranan kita dalam masyarakat dan negara masing-masing,” titah Baginda lagi.
Raja Permaisuri Agong bertitah demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi ke-10 University of Reading yang turut menyaksikan Baginda berkenan menerima Ijazah kehormat Kedoktoran Psikologi di sini.
Dalam titah Baginda turut menekankan peranan universiti yang bukan sahaja berperanan melahirkan graduan yang memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran, malah turut perlu membimbing pelajar untuk membina sahsiah serta kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan nilai-nilai moral.