
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen, berpuas hati dengan perkembangan positif dipamerkan pemain perseorangan negara menjelang Kejohanan Badminton Dunia 2026 di New Delhi, India, dari 17 hingga 23 Ogos ini.
- Terbuka Jepun dan China digunakan untuk menilai tahap pemain serta kenal pasti aspek latihan perlu dipertingkatkan.
- Skuad menunjukkan peningkatan keyakinan, kecergasan, kawalan emosi serta pelaksanaan pelan permainan; persediaan dilihat dalam keadaan baik.
- Leong Jun Hao tunjuk perkembangan memberangsangkan; perlu perkemas corak permainan dan tingkatkan keupayaan membaca lawan untuk kejayaan.
Menurutnya, penyertaan di Terbuka Jepun dan China baru-baru ini menjadi medan terbaik untuk menilai tahap semasa pemain serta mengenal pasti aspek yang perlu dipertingkatkan dalam latihan sebelum menghadapi kejohanan paling berprestij itu.
Jonassen berkata secara keseluruhannya, skuad negara kini berada pada tahap persediaan yang baik dengan peningkatan dari segi keyakinan, kecergasan fizikal, kawalan emosi serta pelaksanaan pelan permainan yang semakin konsisten.
Beliau turut memuji perkembangan positif dipamerkan pemain perseorangan lelaki utama negara, Leong Jun Hao, yang disifatkan menunjukkan peningkatan memberangsangkan meskipun tewas awal di Terbuka Jepun dan Terbuka
Katanya, barisan kejurulatihan telah mengenal pasti beberapa aspek yang masih perlu diperkemaskan Jun Hao.
Antaranya termasuk memperkukuh corak permainan selain meningkatkan keupayaan membaca permainan lawan di dalam gelanggang.
“Secara keseluruhannya, saya percaya kami berada pada tahap persediaan yang baik dengan mental yang positif.
“Kami melihat petanda bahawa pemain mampu beraksi pada tahap tertinggi apabila dapat mengawal emosi, berada pada tahap kecergasan terbaik serta mempunyai pelan permainan yang jelas.” katanya.
Jonassen berkata fokusnya kini adalah memastikan setiap pemain terus mengekalkan momentum positif dalam latihan agar mampu memberikan aksi terbaik apabila kempen Kejohanan Dunia membuka tirai di New Delhi nanti.