RM1.8 trilion pelaburan diluluskan sejak 2021

Foto BKK PARLIMEN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi mencecah RM1.8 trilion bagi tempoh lima tahun iaitu dari 2021 hingga 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaburan domestik RM818.5 bilion (45.1%) dan pelaburan langsung asing RM996.4 bilion (54.9%) menunjukkan sumbangan seimbang.
  • Nilai pelaburan meningkat lebih dua kali ganda daripada RM100.8 bilion pada 2021 kepada RM222.4 bilion pada 2025.
  • 4,242 projek tempatan bernilai RM116.1 bilion diluluskan menerusi MIDA, mewujudkan lebih 37,000 peluang pekerjaan baharu.

Daripada jumlah tersebut, pelaburan langsung domestik (DDI)menyumbang RM818.5 bilion atau 45.1 peratus, manakala pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM996.4 bilion atau 54.9 peratus.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri , Sim Tze Tzin berkata nisbah itu membuktikan landskap pelaburan negara berada pada tahap yang seimbang, dengan pertumbuhan ekonomi dipacu secara bersama oleh pelaburan asing dan domestik.

“Sekiranya dilihat dari tahun ke tahun, nilai tersebut mencatatkan trend pertumbuhan yang memberangsangkan dengan peningkatan melebihi dua kali ganda, iaitu daripada RM100.8 bilion pada tahun 2021 kepada RM222.4 bilion pada tahun 2025.

“Selain itu, daripada segi sumbangan peratusan, prestasinya juga diperhatikan semakin mengukuh apabila meningkat daripada 32.6 peratus pada tahun 2021 kepada 55.4 peratus pada tahun 2024, sebelum mencatatkan 51.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan pada tahun 2025.

“Perkembangan positif ini mencerminkan bahawa dasar kerajaan berkesan dalam menyokong syarikat tempatan untuk terus berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol pada persidangan Dewan Negara.

Katanya, pendekatan seimbang terus dititikberatkan dalam menarik FDI dan memperkukuh DDI bagi memastikan kedua-duanya saling melengkapi dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya lagi, bagi tempoh 2021 hingga Mac 2026, sebanyak 4,242 projek milik syarikat tempatan bernilai RM116.1 bilion telah diluluskan melalui pelbagai insentif di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sekali gus mewujudkan lebih 37,000 peluang pekerjaan baharu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.