
KUALA KRAI, 28 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan enam lelaki serta merampas 360 tan bijih besi, sebuah jentera pengorek dan empat mototrailer bernilai keseluruhan RM2.98 juta di sebuah lombong bijih besi di Mukim Kuala Nal, di sini, hari ini.
- Syarikat memiliki lesen perlombongan sah sehingga 13 November 2026 namun aktiviti dijalankan di luar kawasan diluluskan oleh PTG Kelantan.
- Beberapa suspek ditahan selepas risikan PGA mengesan operasi yang dikendalikan di bawah seliaan seorang penyelia.
- Kes dan barangan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kelantan; siasatan diteruskan bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, enam lelaki berusia antara 31 hingga 63 tahun itu ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti perlombongan bijih besi di luar kawasan yang dibenarkan.
Beliau berkata, serbuan kira-kira pukul 1 tengah hari itu dilakukan hasil risikan oleh anggota Batalion 8 PGA di sebuah lombong yang diusahakan sebuah syarikat perlombongan.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah jentera pengorek sedang memindahkan bijih besi ke dalam empat mototrailer sebelum semua individu yang berada di lokasi ditahan untuk pemeriksaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati syarikat berkenaan memiliki lesen perlombongan yang masih sah sehingga 13 November 2026, namun aktiviti perlombongan dijalankan di luar kawasan yang diluluskan di bawah syarat lesen selepas disahkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati semua suspek bekerja di bawah seliaan seorang penyelia yang bertanggungjawab mengurus operasi perlombongan di kawasan berkenaan.
Katanya, siasatan turut mendapati bijih besi yang diperoleh daripada aktiviti perlombongan itu akan dihantar ke sebuah syarikat pemprosesan di Kuantan, Pahang.
“Kesemua suspek bersama barang kes telah diserahkan kepada PTG Kelantan untuk tindakan lanjut.
“Risikan dan pemantauan akan diteruskan bagi mengesan sebarang pelanggaran syarat lesen, mengenal pasti individu atau pihak yang terlibat serta membanteras aktiviti perlombongan haram di Kelantan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001.