
KUALA LUMPUR, 12 September – Pengekalan kuota subsidi bahan api bawah inisiatif BUDI MADANI memberi kelegaan kepada rakyat, sekali gus membantu mengawal kos sara hidup yang semakin mencabar.
- Pengumuman kerajaan 1 September membolehkan rakyat alihkan lebihan perbelanjaan bahan api kepada keperluan isi rumah.
- Kos bahan api terkawal membantu menstabilkan harga barangan melalui manfaat kepada sektor logistik dan perkhidmatan.
- Had kelayakan bulanan dinaikkan semula daripada 200 kepada 300 liter, subsidi RON95 RM1.99 dan diesel RM2.10 seliter.
- Kemas kini data pengguna penting supaya subsidi disalurkan tepat kepada golongan sasaran dan penyalahgunaan dapat dielakkan.
Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan, Profesor Madya Dr Siti Sara Ibrahim berkata, pengumuman kerajaan pada 1 September lalu membolehkan rakyat mengalihkan lebihan perbelanjaan bahan api kepada keperluan isi rumah seperti makanan dan bahan mentah.
Langkah itu turut membantu menstabilkan harga barangan apabila sektor logistik dan perkhidmatan mendapat manfaat daripada kos bahan api yang terkawal.
Beliau berkata, walaupun pemberian subsidi menambah beban kewangan kerajaan, kesannya tetap positif kerana lebihan perbelanjaan rakyat akan berputar semula dalam kitaran ekonomi.
“Apabila rakyat mempunyai lebihan kewangan, mereka akan berbelanja dalam sektor lain. Sektor tersebut pula menyumbang kembali kepada kerajaan. Inilah kitaran ekonomi yang merancakkan pembangunan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan mengemas kini data pengguna dalam pelaksanaan subsidi BUDI bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar serta mengelakkan penyalahgunaan.
“Ada pengguna tidak menggunakan subsidi, ada pula yang sangat memerlukan tetapi tidak mencukupi. Jadi mekanisme data akan mengawal penyalahgunaan dan memanfaatkan golongan yang memerlukan,” jelasnya.
Beliau ditemui selepas sesi temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.
Had kelayakan asas bulanan BUDI MADANI dinaikkan semula daripada 200 kepada 300 liter bermula awal bulan ini.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi hantaran Facebook memaklumkan pelarasan itu melibatkan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), pada harga subsidi RM1.99 seliter bagi RON95 dan RM2.10 seliter bagi diesel.