
SEOUL, 28 Julai – Korea Selatan berjaya meningkatkan kadar penyelamatan cubaan bunuh diri di Sungai Han kepada lebih 99 peratus menerusi penggunaan sistem kamera berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan individu berisiko sebelum mereka bertindak.
- Sistem pemantauan pintar sejak 2021 memberi amaran apabila seseorang berada terlalu lama di lokasi berisiko, memasuki kawasan bahaya atau menggunakan telefon pencegahan.
- Teknologi membolehkan pasukan kecemasan tiba dalam kira-kira lima minit, masa kritikal untuk menyelamatkan nyawa.
- Hampir 900 kamera di 17 jambatan mengesan lebih 1,200 insiden berisiko tahun lalu; kira-kira lapan individu gagal diselamatkan.
- Syarikat Jepun Asilla bangunkan sistem AI kesan tingkah laku luar biasa, namun teknologi tidak boleh menggantikan peranan manusia.
Sistem pemantauan pintar yang mula digunakan pada 2021 itu memberi amaran kepada pasukan penyelamat apabila mengesan seseorang berada terlalu lama di lokasi berisiko, memasuki kawasan yang dikenal pasti berbahaya atau menggunakan telefon khas pencegahan bunuh diri yang dipasang di jambatan.
Ketua Pusat Kawalan Bersepadu CCTV Jambatan Hangang, Kim Jun-young berkata, teknologi itu membolehkan pasukan kecemasan bertindak lebih pantas, sekali gus meningkatkan kadar penyelamatan daripada 56 peratus pada 2012 kepada lebih 99 peratus ketika ini.
Katanya, pada tahun lalu hampir 900 kamera yang dipasang di 17 jambatan berjaya mengesan lebih 1,200 insiden berisiko, namun kira-kira lapan individu gagal diselamatkan.
Menurutnya, pasukan penyelamat mampu tiba di kebanyakan jambatan dalam tempoh lima minit, iaitu tempoh kritikal untuk menyelamatkan nyawa.
“Kami melihat peranan kami memberi mereka satu lagi peluang untuk berfikir semula, kerana mungkin itu bukan keputusan yang benar-benar mereka mahukan,” katanya.
Beliau berkata, terjun dari ketinggian kira-kira 30 meter ke Sungai Han memberikan impak yang hampir menyamai pelanggaran kereta pada kelajuan 60 kilometer sejam.
Bagaimanapun, Kim mengakui usaha menyelamat bukan mudah kerana ada individu yang bergelut dengan anggota penyelamat atau melarikan diri sebaik menyedari bantuan sedang menghampiri.
Sungai Han merupakan mercu tanda utama Seoul, namun ia juga sering menjadi lokasi cubaan bunuh diri di negara yang mencatat antara kadar bunuh diri tertinggi di dunia.
Menurut statistik kerajaan Korea Selatan, kadar bunuh diri pada 2024 meningkat kepada lebih 29 kematian bagi setiap 100,000 penduduk, iaitu yang tertinggi sejak 2011.
Bunuh diri juga merupakan punca utama kematian dalam kalangan individu berusia antara 10 hingga 49 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat teknologi Jepun, Asilla, turut membangunkan sistem pemantauan AI yang mampu mengesan tingkah laku luar biasa seperti individu terjatuh atau menunjukkan tanda-tanda mahu terjun dari tempat tinggi.
Ketua Pegawai Produk Asilla, Yuka Suzuki berkata, sistem itu telah membantu mengesan beberapa individu yang berada di atas bumbung bangunan sebelum mereka berjaya dipujuk untuk turun.
Bagaimanapun, beliau menegaskan teknologi AI tidak boleh menggantikan peranan manusia atau menyelesaikan krisis kesihatan mental secara bersendirian. – AFP