
KUALA LUMPUR, 28 Jun – Malaysia kini berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran melahirkan 60,000 tenaga kerja mahir dalam industri semikonduktor menerusi kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan pemain industri.
- Universiti tempatan menawarkan program khusus semikonduktor untuk sokong R&D dan bekalan tenaga kerja mahir.
- Strategi Semikonduktor Nasional merangkumi keseluruhan rantaian nilai, termasuk peralatan ujian dan automasi.
- Permintaan tinggi bagi tenaga kerja berkemahiran pelbagai peringkat, digalakkan belia menceburi bidang STEM.
Menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, pelbagai universiti tempatan menawarkan program khusus dalam bidang semikonduktor bagi memenuhi keperluan industri, khususnya dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) bukan sahaja memberi tumpuan kepada reka bentuk cip, malah merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri, termasuk peralatan ujian dan automasi.
“Perkembangan industri ini mewujudkan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja berkemahiran dalam pelbagai bidang dan peringkat kelayakan, termasuk lepasan TVET, sijil, diploma, ijazah serta doktor falsafah (PhD), bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Hussin Ismail dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi mengisi peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi pada masa hadapan.