Kepulangan F1 harumkan semula nama Malaysia – Tunku Panglima Johor

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kepulangan perlumbaan Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang selepas sembilan tahun disifatkan sebagai detik bersejarah yang bukan sahaja mengembalikan kemeriahan sukan permotoran negara, malah berpotensi mengangkat semula nama Malaysia di pentas sukan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Litar Antarabangsa Petronas Sepang disahkan tuan rumah F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 pada 2-4 Oktober 2026.
  • Kesepakatan antara pemimpin Malaysia dan Bahrain disambut dengan rasa syukur Tunku Panglima Johor.
  • Peminat, pemandu dan pasukan F1 teruja untuk kembali beraksi di litar ikonik Sepang.
  • Penganjuran semula F1 dijangka mengharumkan nama Malaysia dan memacu pembangunan atlet serta infrastruktur sukan permotoran.

Presiden dan pelumba Johor Motorsports Racing (JMR), Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, bertitah ia merupakan satu berita yang amat menggembirakan hasil kesepakatan yang dicapai antara pemimpin Malaysia dengan Bahrain.

Menurut baginda, kepulangan F1 ke Sepang bukan sahaja dinanti-nantikan oleh peminat sukan permotoran tempatan, malah turut membangkitkan keterujaan dalam kalangan pemandu serta pasukan Formula Satu yang bakal kembali beraksi di litar ikonik berkenaan.

“Saya amat bersyukur atas kesepakatan yang dicapai oleh Raja Bahrain, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain dan Yang di-Pertuan Agong yang membawa kepada berita mengujakan ini.

“Ia juga mengujakan untuk para pemandu F1 sendiri serta pasukan mereka yang dalam kalangannya ada yang pernah dan juga belum pernah beraksi di sini,” titah baginda.

Baginda turut berkongsi kenangan peribadi yang cukup bermakna bersama Litar Antarabangsa Petronas Sepang, yang menjadi lokasi baginda menyaksikan perlumbaan F1 buat kali pertama ketika era legenda sukan permotoran dunia, Michael Schumacher.

Menurut baginda, penganjuran semula F1 bukan sekadar menghidupkan nostalgia, malah bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan industri sukan permotoran negara secara menyeluruh.

“Sepang sememangnya istimewa kenangannya untuk saya, daripada menyaksikan F1 buat pertama kali bersama Almarhum nenda saya pada era Schumacher sehinggalah perlumbaan terakhir pada 2017.

“Saya berharap pihak penganjur, termasuk Litar Antarabangsa Petronas Sepang, dapat memberikan pengalaman terbaik kepada para peminat.

“Penganjuran ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah akan memberi inspirasi kepada pembangunan atlet, infrastruktur dan keseluruhan ekosistem sukan permotoran negara,” titah baginda.

Sebelum ini, penganjur mengesahkan Litar Antarabangsa Petronas Sepang akan kembali menjadi tuan rumah F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026.

Pengumuman itu sekali gus menandakan kembalinya perlumbaan F1 ke Malaysia buat kali pertama sejak kali terakhir dianjurkan pada 2017.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.