Pengeluaran PMA versi baharu kini diperluas ke Sabah dan Sarawak

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Julai Pelaksanaan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu diperluaskan ke Sabah dan Sarawak secara berperingkat bermula hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan dibahagikan kepada Fasa 6 dan Fasa 7; Fasa 7 bermula 3 Ogos.
  • Hanya pejabat yang disenaraikan akan memulakan pengeluaran PMA versi baharu.
  • Orang ramai disaran menyemak senarai pejabat dan merancang permohonan atau pembaharuan lebih awal.
  • PMA versi baharu dilancarkan dengan 94 ciri keselamatan; warganegara 18+ boleh memilih tempoh 5 atau 10 tahun.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan pelaksanaan itu melibatkan pejabat pengeluar pasport di kedua-dua negeri menerusi dua fasa, iaitu Fasa 6 yang bermula hari ini dan Fasa 7 bermula 3 Ogos.

“Bagi Fasa 6, pejabat yang terlibat ialah Bintulu, Sri Aman, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching, UTC Miri, UTC Sibu, UTC Kota Kinabalu, UTC Tawau dan UTC Keningau.

“Pelaksanaan Fasa 7 pula melibatkan pejabat di Kuching, Lawas, Limbang, Kota Kinabalu, Sandakan, Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kota Kinabalu, Lahad Datu dan UTC Labuan,” menurut kenyataan itu.

JIM memaklumkan hanya pejabat yang disenaraikan akan memulakan pelaksanaan PMA versi baharu mengikut tarikh yang ditetapkan.

Orang ramai disaran menyemak senarai pejabat yang terlibat serta merancang urusan permohonan atau pembaharuan pasport lebih awal sebelum hadir ke pejabat yang telah memulakan pelaksanaan PMA versi baharu.

“Tidak perlu tergesa-gesa kerana pasport sedia ada masih boleh digunakan sehingga enam bulan sebelum tarikh tamat tempoh,” menurut kenyataan itu.

Pada 30 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PMA versi baharu yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan.

Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas mempunyai pilihan memohon pasport baharu itu mulai 1 Julai dengan tempoh sah laku lima atau 10 tahun mengikut keperluan pemohon.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.