
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Selepas lebih dua dekad menyepi daripada album solo, figura seni serba boleh, Datuk Yusry Abdul Halim kembali mengubat rindu peminat menerusi album terbaharu berjudul ‘Eternal’, sekali gus menandakan evolusi baharu dalam perjalanan muziknya.
- Album 'Eternal' terbitan Sony Music, dilancarkan rasmi di 'Eternal Gala Night' di JioSpace dan kini boleh distrim di semua platform digital utama.
- Album memaparkan karya matang dan sarat emosi, mengangkat tema kehidupan yang kekal merentasi masa.
- Terdapat enam lagu; empat ciptaan sendiri Yusry, dua kolaborasi bersama rap komposer Luca Sickta.
- Lagu fokus Jiwa & Raga serta Hancur Kecewa mengulas cinta, kehilangan dan kebangkitan, manakala lagu lain sentuh isu kekeluargaan dan media sosial.
‘ Eternal’ terbitan Sony Music Entertainment Malaysia, merupakan album solo penuh pertama Datuk Yusry selepas tempoh yang panjang, dengan menampilkan karya lebih matang dan sarat emosi yang dekat dengan realiti kehidupan.
Kepulangannya bukan sekadar nostalgia, sebaliknya membawa nafas segar sebagai pengkarya yang terus berkembang mengikut peredaran masa.
Pelancaran album ini diraikan menerusi ‘Eternal Gala Night’ yang berlangsung di JioSpace, dihadiri peminat, rakan media serta penggiat industri hiburan.
Album tersebut turut dilancarkan secara rasmi pada malam sama dan kini boleh distrim di semua platform digital utama.
Mengangkat tema kehidupan yang kekal merentasi masa, ‘Eternal’ memuatkan enam lagu dengan naratif berbeza, merangkumi kisah cinta, kehilangan, kekeluargaan serta cabaran hubungan.
Setiap karya disusun sebagai sebuah perjalanan emosi yang saling melengkapi antara satu sama lain.
Menurut Datuk Yusry, pemilihan judul ‘Eternal’ melambangkan pengalaman dan kenangan yang terus hidup dalam diri setiap individu.
“Saya percaya setiap orang mempunyai cerita yang akan kekal bersama mereka sepanjang hidup. Saya harap album ini dapat menjadi teman kepada pendengar, tidak kira di mana mereka berada dalam perjalanan hidup masing-masing,” katanya.
Album ini turut menampilkan kolaborasi bersama penyanyi rap dan komposer, Luca Sickta menerusi dua lagu iaitu Jiwa & Raga dan Hancur Kecewa, yang mengetengahkan kekuatan vokal serta emosi mendalam Datuk Yusry. Empat lagi lagu pula merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh beliau sendiri.
Sebagai lagu fokus, Jiwa & Raga membawa tema cinta yang dibina atas kesetiaan dan pengorbanan, manakala Hancur Kecewa menyentuh tentang kehilangan dan proses bangkit semula. Lagu lain seperti Pelengkap Hidup, Kasarnya Cinta, Kamu Harus Tahu dan Narsisistik pula melengkapkan spektrum cerita, termasuk sentuhan isu semasa seperti budaya media sosial.
Secara keseluruhan, ‘Eternal’ bukan sekadar sebuah album, tetapi sebuah karya yang diharap mampu menemani pendengar dalam pelbagai fasa kehidupan daripada detik bahagia hingga saat penuh cabaran.