
BEIJING, 26 Julai – Lebih 340,000 penduduk dipindahkan di Selatan China, manakala pekerjaan, sekolah dan perkhidmatan kereta api dihentikan apabila Taufan Noul semakin menghampiri wilayah Guangdong.
- Taufan Noul dijangka melanda pantai antara Shenzhen dan Haifeng awal Ahad, dan pihak berkuasa mengisytiharkan amaran taufan merah.
- Meteorologi ramal hujan lebat dan angin kencang 151 hingga 173 km/j, menjadikan taufan berisiko tinggi menyebabkan bencana.
- Hong Kong buka 28 pusat perlindungan dan hadapi pembatalan serta penangguhan penerbangan; Guangdong tingkatkan kesiapsiagaan banjir dan taufan.
Di Hong Kong pula, puluhan penerbangan turut dibatalkan susulan cuaca buruk.
Pusat Meteorologi Kebangsaan China memaklumkan Taufan Noul dijangka melanda kawasan pantai antara Shenzhen dan Haifeng di Guangdong pada awal pagi Ahad.
Pihak berkuasa cuaca China turut mengeluarkan amaran taufan merah, iaitu amaran tertinggi dalam sistem amaran negara itu.
Menurut agensi berita Xinhua, lebih 340,000 penduduk di Guangdong sudah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Sebanyak 12 bandar di Guangdong, termasuk Guangzhou, Dongguan dan Shantou, menggantung operasi sekolah, kerja, perniagaan, kilang dan pengangkutan sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya.
Penyiar negara, CCTV, melaporkan semua perkhidmatan kereta api di Guangdong dihentikan sepanjang Ahad.
Taufan itu dijangka membawa hujan lebat di Guangdong serta wilayah Hunan, Fujian dan Jiangxi, selain angin kencang antara 151 hingga 173 kilometer sejam.
Di Hong Kong, pihak berkuasa mengeluarkan amaran taufan tahap ketiga tertinggi dan membuka 28 pusat perlindungan sementara.
Balai Cerap Hong Kong memaklumkan amaran itu mungkin dinaikkan ke tahap kedua tertinggi berikutan angin dijangka semakin kuat.
Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong berkata sekurang-kurangnya 49 penerbangan dibatalkan manakala 238 lagi ditangguhkan, malah lebih banyak penerbangan dijangka terjejas pada Ahad.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an memaklumkan jadual penerbangan akan diselaraskan mengikut keadaan cuaca.
Menurut CCTV yang memetik ahli meteorologi, Taufan Noul berisiko tinggi menyebabkan bencana kerana membawa hujan lebat, angin kencang dan dijangka bergerak jauh ke kawasan pedalaman.
Susulan itu, Guangdong meningkatkan tahap kesiapsiagaan banjir dan taufan, manakala Jiangxi serta Hunan turut mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan banjir. – AFP