
SERDANG, 26 Julai – Program Drift Healing 21.0 bukan sekadar medan peminat sukan permotoran berhimpun, malah berperanan sebagai platform membina komuniti automotif yang sihat serta memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai ilmu dan kerjaya dalam bidang itu.
- Program 'drift sambil healing' menghimpunkan peminat untuk berkongsi pengetahuan, bakat dan pengalaman dalam suasana selamat.
- Pengunjung dapat pengalaman 'Taxi Drift' di litar tertutup dengan pemandu berpengalaman.
- Acara menarik kira-kira 4,000 pengunjung, menampilkan pertandingan Drift, Auto Show, Sound System dan Pop and Bang.
- Ketua Pengarah Penyiaran galakkan perluasan program sebagai alternatif selamat kepada perlumbaan haram dan pendidikan automotif.
Pengarah APD Crew Circuit, Wallace Choy berkata, penganjuran program berkonsepkan ‘drift sambil healing’ itu bertujuan menghimpunkan peminat automotif untuk berkongsi pengetahuan, bakat dan pengalaman dalam suasana yang selamat serta terkawal.
“Program ini bukan hanya mengenai aksi drift, tetapi menjadi ruang untuk orang ramai, khususnya belia, mendalami dunia automotif, memahami aspek teknikal kenderaan dan membina jaringan dalam komuniti yang positif,” katanya.
Program terbuka kepada orang ramai itu menarik kehadiran kira-kira 4,000 pengunjung yang turut diberi peluang merasai pengalaman menaiki kenderaan berkuasa tinggi menerusi aktiviti ‘Taxi Drift’, sekali gus merasai sendiri aksi pemanduan pecutan dinamik yang dikendalikan pemandu berpengalaman di litar tertutup.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail yang hadir sebagai tetamu khas berkata, program seumpama itu wajar diperluaskan kerana menyediakan platform selamat kepada golongan muda untuk menceburi sukan permotoran.
Menurut beliau, penganjuran di lokasi yang menitikberatkan aspek keselamatan mampu mengurangkan kecenderungan belia menyertai aktiviti perlumbaan haram atau sukan permotoran tidak berlesen.
“Ia bukan sahaja mempromosikan sukan permotoran secara selamat, malah membuka ruang kepada pengunjung menimba ilmu dalam bidang automotif termasuk aspek penyelenggaraan dan penjagaan kenderaan,” katanya.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang Drift Healing 21.0 ialah pertandingan Drift, Auto Show, Sound System Championship, Pop and Bang serta Taxi Drift.
Program edisi ke-21 itu turut dihadiri bekas pelumba dan bekas drifter negara, Hanizam Hamzah atau lebih dikenali sebagai Loyai, yang kini merupakan Pengarah Operasi APD Crew Circuit.