Enam maut nahas kereta bertembung lori di Jalan Karak Lama

Foto JBPM Pahang

BENTONG, 25 Julai – Enam lelaki berusia 16 hingga 25 tahun maut selepas kereta yang dinaiki terbabit kemalangan dengan lori satu tan berhampiran Klinik Desa Jambu Rias di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan diterima pada 4.24 pagi; pasukan bomba tiba kira-kira lapan minit kemudian.
  • Mangsa ditemui tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM; pemandu lori cedera dan dihantar ke hospital.
  • Operasi melibatkan 16 anggota BBP Karak dan Mentakab serta dua jentera; keadaan dikawal 5.57 pagi, operasi ditamatkan 6.40 pagi; punca disiasat polis.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa dalam satu kenyataan berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4:24 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lapan minit kemudian.

“Setiba di lokasi, enam mangsa didapati tersepit di dalam kenderaan berkenaan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

“Mangsa yang maut ialah V.Mugilan, 25; K.Dinesvaran, 22; K.Alaganathan, 21; A.Kanabati Raja, 19; S.Kiisyen, 17; dan M.Paranthaman, 16,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori, Muhamad Hanafi Ahmad Raju, 31, mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan Rescue Tool dan Combi Tool bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.

“Kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya dalam kenyataan.

“Operasi melibatkan 16 anggota dari BBP Karak dan BBP Mentakab dengan bantuan dua jentera bomba. Keadaan berjaya dikawal pada pukul 5:57 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6:40 pagi. Punca kemalangan masih dalam siasatan polis,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.