
FARNBOROUGH, 24 Julai – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aerospace Langkawi (LIMA 2027) serta Perkhidmatan Pertahanan dan Keselamatan Negara Asia (DSA & NATSEC Asia 2028) meraih sokongan industri pertahanan global pada Pertunjukan Udara Farnborough Antarabangsa (FIA 2026) yang berlangsung di sini.
- Majlis penyerahan kontrak dimeterai melibatkan beberapa syarikat pertahanan antarabangsa di Pavilion Malaysia.
- Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Panglima Tentera Udara hadir menyaksikan majlis penyerahan kontrak.
- Senarai syarikat yang komited termasuk Pilatus, RUAG, Korea Aerospace Industries, Glenair, Team Defence Australia dan Kallman Worldwide; NAICO Malaysia rakan strategik.
- Penyertaan awal mencerminkan keyakinan industri terhadap keupayaan Malaysia, memperkukuh platform serta memperluas peluang kerjasama strategik dan pembangunan industri pertahanan.
Majlis penyerahan kontrak LIMA 2027 & DSA NATSEC Asia 2028 dimeterai melibatkan beberapa syarikat pertahanan antarabangsa dekat Pavilion Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Lukman Hakim Ali bersama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Muhammad Norazlan Aris hadir menyaksikan majlis penyerahan kontrak berkenaan.
MINDEF menerusi kenyataan memaklumkan syarikat-syarikat pertahanan antarabangsa tersebut menyatakan komitmen untuk menyertai penganjuran pameran edisi itu.
“Antara syarikat yang telah menyatakan komitmen ialah Pilatus Aircraft Ltd., RUAG, Korea Aerospace Industries (KAI), Glenair, Team Defence Australia dan Kallman Woldwide
“Manakala NAICO Malaysia pula mengesahkan penyertaan sebagai rakan kerjasama strategik,” menurut kenyataan itu.
MINDEF turut menyatakan penyertaan awal bagi LIMA 2027 & DSA NATSEC Asia 2028 mencerminkan tahap keyakinan yang semakin kukuh daripada industri pertahanan dan aeroangkasa global terhadap keupayaan Malaysia sebagai penganjur pameran pertahanan bertaraf antarabangsa.
“Perkembangan ini akan memperkukuhkan lagi kedudukan LIMA 2027 dan DSA & NATSEC Asia 2028 sebagai antara platform pertahanan, aeroangkasa dan keselamatan yang terkemuka di peringkat antarabangsa, sekali gus memperluas peluang kerjasama strategik serta menyokong pembangunan industri pertahanan,” kata kementerian berkenaan.
LIMA 2027 telah dilancarkan secara rasmi pada 7 Julai lalu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur.
Menurut MINDEF dengan penyertaan Malaysia dalam FIA 2026 di sini dijangka meningkatkan penyertaan antarabangsa serta memperkukuh pengiktirafan LIMA 2027 & DSA NATSEC Asia 2028 sebagai antara platform pertahanan, aeroangkasa dan keselamatan yang terkemuka di rantau Asia Pasifik.
LIMA 2027 dijadual berlangsung pada 17 hingga 20 April 2027.
Manakala, DSA & NATSEC Asia 2028 pada 17 hingga 20 April 2028.