Peruntukan projek pembangunan disalur terus kepada rakyat – PM

Projek akan dilaksanakan mengikut keperluan setempat

PETALING JAYA, 24 Julai – Peruntukan projek pembangunan untuk rakyat tidak dipotong, sebaliknya akan disalur terus kepada rakyat tanpa melalui Ahli Parlimen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan tetap tersedia untuk sekolah, rumah ibadat, sistem perparitan, hospital dan kemudahan awam lain.
  • Kerajaan mahu peruntukan memberi manfaat sebenar kepada rakyat dan tidak bergantung kepada saluran politik melalui Ahli Parlimen.
  • Kerjasama Persekutuan dan negeri luluskan RM44.5 juta untuk 30 kerja mitigasi banjir; projek dipilih berdasarkan keperluan setempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peruntukan berkenaan tetap tersedia bagi membiayai projek serta keperluan rakyat termasuk sekolah, rumah ibadat, sistem perparitan, hospital dan kemudahan awam lain.

“Wang itu bukan kita simpan. Apa yang kita janji untuk belanjakan, kita belanjakan. Kalau ada keperluan, hospital, kemudahan kecil, pejabat polis, yang mana diperlukan akan salurkan melalui saluran kita.

“Tidak ada asas untuk mana-mana orang politik mengatakan wang tidak ada. Kita ada wang, tetapi kita tidak beri kepada kamu. Kita beri kepada rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan program Generasi Muda Suara Baharu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan, kerajaan mahu memastikan peruntukan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan tidak bergantung kepada saluran politik melalui Ahli Parlimen.

“Persoalannya, rakyat mahu projek atau Ahli Parlimen mahu projek? Rakyat mahu projek,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan pembangunan yang telah diluluskan sebelum ini turut merangkumi RM1.6 juta bagi kawasan Parlimen Subang dan RM3 juta bagi Parlimen Petaling Jaya.

Dalam pada itu, katanya Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan 30 skop kerja mitigasi banjir di kawasan ‘hotspot’ sekitar Petaling Jaya dan Damansara dengan peruntukan RM44.5 juta, hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Projek berkenaan akan dilaksanakan mengikut keperluan setempat termasuk di kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ banjir.

“Untuk sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, rumah ibadat, parit dan apa yang diperlukan, kita akan buat proses secara betul dan pilih (projek) berdasarkan keperluan,”katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.