KPT sokong inisiatif MAHSA, Micro-Credential jadi pemangkin ‘upskilling’

Foto RTM

SELANGOR, 24 Julai – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Universiti MAHSA atas pencapaian cemerlang serta penubuhan Pusat Micro-Credential MAHSA yang mencerminkan keberanian dan visi institusi itu dalam mendepani perubahan landskap pendidikan tinggi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembelajaran sepanjang hayat perlu diteruskan bagi memastikan individu kekal relevan dalam era teknologi yang dinamik.
  • Micro-credential melengkapkan kelayakan tradisional dengan kemahiran fleksibel dan selaras kehendak industri untuk upskilling serta reskilling.
  • Kerjasama rapat dengan Agensi Kelayakan Malaysia diperlukan untuk pengiktirafan, selari Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026 hingga 2035 berteraskan fleksibiliti dan teknologi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan pembelajaran kini tidak lagi terhenti selepas tamat pengajian, sebaliknya perlu diteruskan sebagai usaha sepanjang hayat (lifelong learning) bagi memastikan setiap individu kekal relevan dalam era teknologi yang dinamik.

Menurut beliau, penubuhan pusat micro-credential itu mampu melengkapi kelayakan akademik tradisional dengan menawarkan kemahiran teras yang lebih fleksibel serta menepati kehendak industri semasa.

“Program ‘micro-credential’ diperkenalkan bagi memenuhi keperluan individu yang ingin meningkatkan kepakaran melalui pendekatan upskilling dan reskilling dalam bidang tertentu.

“Program ini melibatkan kursus-kursus khusus yang lebih pendek, ada yang mengambil masa beberapa minggu, dua hingga tiga bulan, malah sehingga setahun bergantung kepada program yang dianjurkan.

“Kita juga menekankan keperluan hubungan rapat dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan setiap program micro-credential ini mendapat pengiktirafan sewajarnya,” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat Micro-Credential MAHSA di Universiti MAHSA, Bandar Saujana Putra, hari ini.

Tambahnya, inisiatif tersebut juga selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026–2035 yang menekankan keanjalan, fleksibiliti serta integrasi teknologi digital dalam melahirkan graduan berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.