Pasukan UTM galas cabaran dalam ABU Robocon 2026 di Hong Kong

Ketua Pasukan UTM, Leong Jin Ye

JOHOR BAHRU, 24 Julai – Mobiliti di permukaan bertingkat dan kompleksiti menyelesaikan tugasan, menjadi cabaran perlu dihadapi pasukan Malaysia di ABU Robocon 2026 di Hong Kong, pada 23 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan Malaysia disertai oleh 40 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru.
  • Persediaan dijalankan sejak sepuluh bulan lalu termasuk analisis dan penambahbaikan prestasi robot.
  • Robot dituntut melakukan pemasangan senjata dengan kerjasama tinggi; tumpuan pada kepantasan dan kecekapan dalam pelaksanaan.
  • Tema 'Kung Fu Quest' gabungkan seni mempertahankan diri tradisional China dengan teknologi robotik moden; pasukan berlatih setiap hari.

Pasukan Malaysia disertai oleh 40 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru.

Ketua Pasukan UTM, Leong Jin Ye berkata, persediaan telah dibuat sejak sepuluh bulan lalu termasuk mengemaskini prestasi robot dengan analisis dan penambahbaikan, bagi menghadapi cabaran yang bertemakan “Kung Fu Quest”.

Robot-robot yang dihasilkan kumpulan mahasiswa UTM itu perlu menempuh cabaran pemasangan senjata, yang memerlukan tahap kerjasama tinggi.

Cabaran “Meihua Forest Quest” pula, memerlukan robot mencari laluan terbaik pada permukaan bertingkat, untuk mengambil kotak skrol. Manakala `Tic Tac Toe’ gergasi, memerlukan koordinasi robot kawalan manual dan robot berautonomi, menyelesaikan cabaran.

“Kekuatan robot yang dibangunkan oleh pasukan UTM Malaysia terletak pada keupayaannya melakukan proses pengambilan dan pemasangan senjata dengan pantas serta efisien.

“Kami memberi tumpuan kepada masa pelaksanaan yang kompetitif bagi mengambil komponen, sebelum memasangnya dalam tempoh yang singkat. Selain itu, robot R1 turut mempunyai keupayaan mengambil kotak dengan cepat dan bergerak ke arena dalam masa yang minimum bagi melengkapkan tugasan”, jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pasukan UTM, Lee Shi Yi berkata pasukan UTM itu mengadakan latihan setiap hari sebagai persediaan menghadapi pertandingan di peringkat antarabangsa itu.

Tema ‘Kung Fu Quest’ pada tahun ini, memerlukan pelajar UTM, menggabungkan elemen seni mempertahankan diri tradisional China, dengan teknologi robotik moden.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.