
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Masjid Negara bakal memperkukuh peranannya sebagai pusat komuniti menerusi penganjuran Karnival Masjid Negara Kuala Lumpur (MNKL) 2026 yang akan berlangsung dari 16 hingga 20 Sept ini di pekarangan masjid berkenaan.
- Karnival menampilkan aktiviti inklusif untuk semua lapisan: kanak-kanak, belia, warga emas, OKU dan bukan Islam bagi memupuk perpaduan dan ukhuwah.
- MNKL Unity Fund Run menyasarkan kira-kira 1,500 peserta pelbagai kaum sebagai simbol perpaduan; hasil kutipan untuk program komuniti dan bantuan asnaf.
- Pelbagai acara termasuk food fest lebih 100 gerai, pertandingan azan dan khat, e-Sport, derma darah, persembahan nasyid serta ceramah pendakwah terkenal.
Imam Besar Masjid Negara Dr Amru Alhaz Adnan berkata karnival berkonsepkan masjid komuniti itu mengetengahkan pelbagai aktiviti inklusif bagi memupuk perpaduan, ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan peringkat umur.
“Kita menawarkan pelbagai aktiviti yang menyantuni kanak-kanak, belia, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan juga bukan Islam.
“Kita tidak mahu melihat masjid sebagai institusi yang eksklusif untuk orang Islam sahaja, bahkan fungsinya perlu diperluas,” katanya pada sidang media tentang karnival itu di sini, hari ini.
Beliau berkata karnival tersebut turut bertujuan mempromosikan Masjid Negara sebagai destinasi pelancongan Islam bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, selepas merekodkan kira-kira 315,000 pelancong luar negara pada 2025.
Amru Alhaz berkata kemuncak karnival ialah penganjuran MNKL Unity Fund Run yang menyasarkan penyertaan kira-kira 1,500 peserta daripada pelbagai kaum dan agama sebagai simbol semangat perpaduan negara.
Beliau berkata acara larian pada hari terakhir karnival itu dijangka turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan serta Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Sementara itu, pengurus program berkenaan Suffian Ahmad Affindi berkata hasil kutipan MNKL Unity Fund Run 2026 akan disalurkan kepada Masjid Negara bagi program komuniti termasuk bantuan asnaf dan aktiviti kebajikan.
Beliau berkata acara larian itu menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai, tablet, telefon pintar dan pakej umrah untuk lima pemenang cabutan bertuah, dengan pendaftaran dibuka hingga 10 Sept ini.
Suffian berkata sepanjang lima hari penganjuran karnival, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk food fest yang dijangka menghimpunkan lebih 100 gerai makanan, pertandingan azan, pertandingan khat, e-Sport, explorace, kempen derma darah serta persembahan nasyid.
“Karnival itu turut menampilkan ceramah oleh beberapa pendakwah terkenal termasuk Ustaz Abdul Somad, Datuk Mohammad Kazim Elias dan kumpulan pendakwah Tiga Beradik, selain persembahan artis berkonsepkan patuh syariah,” katanya.
Suffian berkata sebanyak 25,000 hingga 30,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang karnival itu yang berlangsung dari 10 pagi hingga 12 tengah malam.- BERNAMA