Hari Pahlawan 2026 semarak patriotisme bersama

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 JULAI – Semangat pengorbanan dan jasa pahlawan negara terus diangkat menerusi sambutan Hari Pahlawan 2026 yang menjadi simbol penghargaan tertinggi kepada anggota keselamatan, selain menyuntik kesedaran bahawa keamanan negara perlu dipertahankan secara kolektif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tema "Mengenang Jasa, Mengukuh Pertahanan" mencerminkan penghargaan kepada pahlawan era darurat dan konfrontasi serta pengajaran tentang nilai pertahanan.
  • Pertahanan negara memerlukan kerjasama ATM, PDRM, agensi lain dan rakyat untuk memastikan perpaduan, keamanan dan kedaulatan terpelihara.
  • Istiadat 31 Julai di Dataran Pahlawan Negara menampilkan pentomin Op Ulu Legong menghormati tujuh anggota ATM terkorban dalam serangan hendap komunis.
  • ATM mempergiat semangat patriotisme melalui PLKN 3.0 dan pendekatan media sosial bagi meningkatkan kesedaran perpaduan, keselamatan dan tanggungjawab mempertahankan negara.

Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin berkata tema “Mengenang Jasa, Mengukuh Pertahanan” mencerminkan penghargaan terhadap pengorbanan para pahlawan sejak era darurat dan konfrontasi, selain mengingatkan bahawa keamanan negara tidak hadir tanpa harga yang tinggi.

Menurut beliau, aspek pertahanan negara bukan hanya bergantung kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), malah memerlukan kerjasama semua agensi serta rakyat bagi memastikan perpaduan, keamanan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Hari Pahlawan ini merupakan sambutan untuk rakyat, selain manifestasi kerajaan dalam mengenang jasa para pahlawan yang telah terkorban serta mereka yang berkhidmat mempertahankan keamanan negara, khususnya pada era darurat dan konfrontasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, hari ini.

Mengulas pengisian sambutan tahun ini, beliau berkata istiadat pada 31 Julai di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya akan menampilkan pementasan pentomin berasaskan kisah sebenar Operasi Ulu Legong (Op Gubir).

Pementasan itu mengangkat peristiwa tujuh anggota ATM yang terkorban dalam serangan hendap komunis sebagai simbol penghargaan terhadap pengorbanan mereka mempertahankan negara.

Dalam pada itu, ATM turut mempergiat usaha menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda menerusi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 serta pendekatan media sosial.

Ia bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perpaduan, keselamatan dan tanggungjawab mempertahankan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.