
PUTRAJAYA, 24 Julai – Persatuan Bola Keranjang Putrajaya (PUBA) meraikan perjalanan sedekadnya dalam memperkasakan pembangunan sukan berkenaan menerusi penganjuran Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-10 bertemakan “Unity, Passion & Excellence”, di sini malam tadi (Khamis)
- Kehadiran pemain, jurulatih, pegawai, penaja serta Presiden MABA menggambarkan sokongan padu terhadap pembangunan bola keranjang Putrajaya.
- Presiden PUBA, Mohd Haniff, menyatakan kejayaan hasil semangat berpasukan serta komitmen agensi kerajaan dan sukarelawan.
- PUBA akan memperkukuh program pembangunan pemain, melahirkan jurulatih dan pegawai berkualiti, menjadikan Putrajaya pusat pembangunan terkemuka.
- Rekod kebangsaan termasuk pingat perak Piala MABA 2023, tempat ketiga 3x3 MABA-Matrix 2025, dan aksi akhir Piala MABA-Matrix 2026.
Majlis berkenaan menghimpunkan pemain, jurulatih, pegawai, penaja serta rakan strategik, selain diserikan dengan kehadiran Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock.
Presiden PUBA, Mohd Haniff Ab Razak berkata kejayaan persatuan bertahan dan berkembang sepanjang tempoh 10 tahun adalah hasil semangat berpasukan serta komitmen padu pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan dan sukarelawan.
“Kami akan terus memperkukuh program pembangunan pemain, melahirkan lebih ramai jurulatih dan pegawai berkualiti, sekali gus menjadikan Putrajaya antara pusat pembangunan bola keranjang terbaik di negara ini,” katanya menerusi kenyataan.
Mengulas mengenai perancangan akan datang, beliau menegaskan PUBA bakal memperluas program akar umbi di sekolah dan institusi pendidikan, selain meningkatkan penganjuran kejohanan bertaraf kebangsaan serta antarabangsa, bagi melahirkan lebih ramai bakat untuk menyarung jersi kebangsaan.
Sepanjang sedekad penubuhannya, PUBA mencatatkan beberapa kejayaan membanggakan di peringkat kebangsaan, antaranya meraih pingat perak pada Piala MABA 2023 dan tempat ketiga saingan 3 lawan 3 Lelaki Kejohanan MABA-Matrix 2025.
Meneruskan momentum cemerlang itu, skuad Putrajaya dijadual menempuh aksi menentukan kejuaraan menentang Negeri Sembilan pada pentas akhir Piala MABA-Matrix 2026 yang berlangsung di Tenom, Sabah, esok (Sabtu).
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian anugerah penghargaan kepada individu dan organisasi yang banyak menyumbang kepada kemajuan sukan bola keranjang di Putrajaya sepanjang 10 tahun lalu.