
WASHINGTON, 24 Julai – Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menyatakan akan mengenakan tarif baharu terhadap 60 rakan dagangnya susulan kebimbangan mengenai amalan buruh paksa, sekali gus menggantikan duti import global yang bakal tamat tempoh dan diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump pada awal tahun ini.
- AS mengenakan tarif 10 hingga 12.5 peratus terhadap pelbagai ekonomi besar, termasuk China, India dan EU.
- Tarif diperkenalkan selepas siasatan bertahun-tahun, dikatakan mempunyai asas perundangan lebih kukuh dan sukar dicabar di mahkamah.
- Negara yang melarang buruh paksa atau berjanji melakukannya dikenakan kadar lebih rendah; beberapa sektor dan perjanjian perdagangan dikecualikan.
Tarif baharu itu yang berkuat kuasa Jumaat ditetapkan antara 10 hingga 12.5 peratus melibatkan kuasa ekonomi utama termasuk China, India dan Kesatuan Eropah (EU).
Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata negara itu telah menguatkuasakan larangan import membabitkan buruh paksa sejak hampir satu abad lalu dan melaksanakannya secara tegas.
“Sudah tiba masanya rakan dagang kami turut melaksanakan langkah yang sama,” katanya.
Beliau memaklumkan, ekonomi yang terlibat mewakili sebahagian besar perdagangan AS.
Pentadbiran Trump sebelum ini bertindak memperkenalkan semula dasar tarif selepas Mahkamah Agung AS pada Februari lalu membatalkan beberapa tarif yang dikenakan, sekali gus menjejaskan kuasa presiden untuk mengenakan levi import secara meluas.
Susulan keputusan itu, Trump menggunakan peruntukan undang-undang lain bagi mengenakan semula tarif import sebanyak 10 peratus namun langkah berkenaan hanya berkuat kuasa selama 150 hari dan akan berakhir pada Jumaat.
Tarif baharu yang dicadangkan pada Jun lalu kini akan menggantikan langkah sementara tersebut.
Menurut pentadbiran AS, tarif berkenaan diperkenalkan selepas siasatan yang dijalankan selama beberapa bulan dan disifatkan mempunyai asas perundangan yang lebih kukuh serta lebih sukar dicabar di mahkamah.
Di bawah pelaksanaan baharu itu, negara dan wilayah yang telah melaksanakan larangan import berkaitan buruh paksa atau memberi komitmen untuk berbuat demikian akan dikenakan tarif lebih rendah iaitu 10 peratus.
Antara yang terlibat ialah Kanada, EU, India dan United Kingdom.
Sementara itu, China, Jepun, Korea Selatan serta puluhan negara lain akan dikenakan tarif lebih tinggi sebanyak 12.5 peratus.
Bagaimanapun, EU, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Switzerland diberikan sedikit kelonggaran selaras dengan perjanjian perdagangan yang dimeterai sebelum ini dengan AS.
Barangan yang telah dikenakan tarif khusus mengikut sektor seperti keluli dan aluminium tidak akan terjejas oleh langkah baharu itu.
Selain itu, beberapa produk tenaga, baja serta barangan yang dilindungi di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA) turut dikecualikan daripada tarif berkenaan, menurut seorang pegawai AS. – AFP