KPKM manfaat dapatan GAVIS 2026 perkukuh dasar keterjaminan makanan

Datuk Chan Foong Hin

PUTRAJAYA, 23 Julai – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menjadikan syor, dapatan penyelidikan serta inovasi yang dibentangkan sepanjang Global Veterinar dan Industri 2026 (GAVIS 2026) sebagai panduan dalam merangka dasar berkaitan sistem makanan mampan dan keselamatan kesihatan awam negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tema One Voice, One Health, One Future menyerlahkan kepentingan pendekatan menyeluruh menentang penyakit zoonotik, rintangan antimikrob dan impak perubahan iklim.
  • Pemeteraian MoU melalui Simposium Veterinar Malaysia dan Indonesia memperkukuh kerjasama serantau menentang penyakit haiwan merentas sempadan dan keterjaminan makanan.
  • Penyertaan belia dalam Pertandingan Inovasi Pelajar memberi keyakinan sektor veterinar dan penternakan dipacu bakat baharu berinovasi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, segala hasil yang dicapai menerusi persidangan itu tidak akan terhenti setakat sesi perbincangan, sebaliknya dimanfaatkan bagi memperkukuh pembangunan sektor veterinar dan industri ternakan negara.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kekal komited untuk terus menyokong pembangunan sektor veterinar dan industri ternakan negara.

“Dapatan penyelidikan serta inovasi yang dihasilkan menerusi persidangan ini tidak akan terhenti di sini, sebaliknya akan dijadikan panduan penting dalam merangka dasar negara berkaitan sistem makanan mampan dan keselamatan kesihatan awam pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup GAVIS 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menurut beliau, tema One Voice, One Health, One Future yang diketengahkan pada persidangan itu mencerminkan kepentingan pendekatan menyeluruh dalam menangani isu kesihatan haiwan, kesihatan manusia dan kelestarian alam sekitar, termasuk ancaman penyakit zoonotik, rintangan antimikrob serta kesan perubahan iklim.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) menerusi Simposium Veterinar Antarabangsa Malaysia-Indonesia sebagai pemangkin kepada usaha memperkukuh jaringan kerjasama serantau dalam menangani penyakit haiwan merentas sempadan, selain memperkasa agenda keterjaminan makanan di Asia Tenggara.

Penyertaan golongan muda menerusi Pertandingan Inovasi Pelajar memberi keyakinan bahawa sektor veterinar dan penternakan akan terus dipacu bakat baharu yang berupaya membawa pembaharuan menerusi penyelidikan dan inovasi.

GAVIS 2026 yang berlangsung selama tiga hari menghimpunkan pemain industri, penyelidik, ahli akademik dan penggubal dasar dari dalam serta luar negara bagi membincangkan inovasi, biosekuriti dan penyelesaian masa depan sektor penternakan dan veterinar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.