
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Franchise Expo Malaysia (FEM) menyasarkan nilai transaksi sebanyak RM700 juta tahun ini.
- Keyakinan pelabur meningkat terhadap model francais sebagai mekanisme pengembangan perniagaan yang mampan.
- Ekspo menonjolkan pembaharuan digitalisasi termasuk Zon Perdagangan Langsung dan Penstriman Langsung untuk sokong jualan dalam dan luar talian.
- FEM disertai 60 peratus jenama tempatan dan 40 peratus jenama antarabangsa dari negara seperti Thailand, China, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan India.
- Acara tiga hari di KLCC menampilkan 450 reruai pameran dengan jangkaan lebih 20,000 pengunjung, perasmian disempurnakan Exco Ng Sze Han.
Jumlah berkenaan meningkat 40 peratus berbanding RM500 juta nilai transaksi yang direkodkan pada penganjuran tahun lalu.
Presiden Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Datuk Liew Mun Hon berkata, sasaran itu didorong oleh peningkatan keyakinan pelabur terhadap model francais sebagai mekanisme pengembangan perniagaan yang mampan dalam keadaan ekonomi yang pesat berkembang.
Jelasnya, seiring dengan peralihan global, pameran anjuran MRCA itu turut mengetengahkan beberapa pembaharuan dari aspek digitalisasi, seiring kepesatan teknologi dan perubahan corak pembelian pengguna masa kini.
”Bagi membantu pemain industri peruncitan menghadapi perubahan ini, ekspo tahun ini memperkenalkan Zon Perdagangan Langsung (Live Commerce) dan Penstriman Langsung (Live Streaming), yang menyediakan perniagaan dengan kemudahan serta peralatan bagi saluran jualan dalam talian dan luar talian agar lebih lancar,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian FEM 2026.
Perasmian FEM 2026 disempurnakan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.
Tambahnya, FEM 2026 kali ini disertai 60 peratus jenama tempatan dan 40 peratus jenama antarabangsa dari pelbagai negara termasuk Thailand, China, Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea Selatan dan India.
Acara yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 25 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menampilkan 450 reruai pameran dengan jangkaan lebih 20,000 pengunjung.