Dua pemilik restoran didenda atas kesalahan representasi halal

Foto RTM

GEORGE TOWN, 23 Julai – Dua pemilik restoran didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berasingan berkaitan representasi halal yang boleh mengelirukan pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Silk Road Lanzhou Beef Noodles pamer perkataan 'Al-Matbakh Al-Halal' pada menu tanpa sijil halal.
  • Syarikat didenda RM20,000 manakala pengarah Sia Khai Jun didenda RM10,000 atau 10 bulan penjara.
  • Perniagaan Laksa Mana pamer papan tanda 'Muslim Friendly Café' tanpa pengesahan halal pihak berkuasa.
  • Syarikat didenda RM20,000 manakala pemilik Robert Khoo didenda RM10,000 atau 12 bulan penjara.

Dalam kes pertama, pengarah Silk Road Lanzhou Beef Noodles Sdn. Bhd., Sia Khai Jun, 24, mengaku bersalah di hadapan Hakim Irwan Suaibon atas pertuduhan membekalkan atau menawarkan makanan dengan membuat representasi yang boleh memperdayakan atau mengelirukan bahawa makanan itu halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di premis syarikat di Taman Pauh Jaya, Permatang Pauh pada 23 September tahun lalu apabila empat unit buku menu memaparkan perkataan Arab “Al-Matbakh Al-Halal”, yang bermaksud “Dapur Halal” dalam bahasa Melayu, tanpa pengesahan sijil halal daripada pihak berkuasa.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM20,000 terhadap syarikat, manakala pengarahnya iaitu tertuduh Sia Khai Jun didenda RM10,000 atau penjara 10 bulan jika gagal menjelaskan denda.

Sementara itu, dalam kes berasingan, pemilik Perniagaan Laksa Mana (X) Sdn. Bhd., Robert Khoo Keat Hoe, 53, turut mengaku bersalah atas pertuduhan mempamerkan papan tanda “Muslim Friendly Café” di premisnya di Lebuh Chulia pada 24 September tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, papan tanda itu dipamerkan dengan membuat representasi bahawa makanan yang dibekalkan adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap syarikat, manakala tertuduh Robert Khoo Keat Hoe didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua kes didakwa mengikut Perintah 4(1), Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal 2011) dan boleh dihukum di bawah Perintah 5(b) perintah yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Mohd. Hilmi Abu Hassan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.