MARA laksana program mikro kredit turun padang bersama usahawan Perlis

Foto RTM

SIMPANG EMPAT, 23 Julai -Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Perlis mempergiat usaha memperkasakan peniaga kecil menerusi pelaksanaan Program Mikro Kredit Turun Padang yang membabitkan seramai 35 usahawan di Pasar Tani Kekal Simpang Empat, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perasmian oleh Pengarah Bahagian Pembiayaan Perniagaan MARA, Mohd Azam Jamaluddin membuka ruang agensi meninjau operasi dan mengumpul maklum balas peniaga terus.
  • Gabungan pelbagai agensi memudahkan saluran maklumat bantuan kewangan dan sokongan teknikal demi kelangsungan perniagaan usahawan tempatan.
  • Usahawan didedahkan kepada skim pembiayaan sedia ada serta bantuan lain seperti latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan dan nasihat pengurusan kewangan.
  • Pendekatan turun padang membolehkan penilaian terperinci terhadap cabaran dan keperluan sebenar peniaga mikro di peringkat akar umbi.

Majlis perasmian program yang disempurnakan Pengarah Bahagian Pembiayaan Perniagaan MARA, Mohd Azam Jamaluddin itu turut memberi ruang kepada wakil pelbagai agensi meninjau operasi perniagaan serta mengumpul maklum balas secara terus daripada para peniaga.

Beliau menegaskan, gabungan pelbagai agensi dalam satu program dapat memudahkan saluran maklumat berhubung bantuan kewangan mahupun sokongan teknikal demi kelangsungan perniagaan usahawan tempatan.

Beliau turut menjelaskan, menerusi penganjuran berkenaan, para usahawan bukan sahaja didedahkan dengan pelbagai skim pembiayaan kewangan yang sedia ada, malah turut diperkenalkan kepada bantuan sokongan lain seperti latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan serta khidmat nasihat pengurusan kewangan.

Pendekatan secara terus di lapangan itu juga membolehkan pihak penganjur dan agensi berkaitan menilai secara terperinci cabaran serta keperluan sebenar yang dihadapi oleh peniaga mikro di peringkat akar umbi.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Timbalan Pengarah Pembangunan MARA Perlis, Yusri Md Yusof berserta pegawai pengurusan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan TEKUN Nasional.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.