
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Malaysia dan Thailand terus memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pelancongan menerusi Mesyuarat Pasukan Petugas Kedua Kerjasama Pelancongan Malaysia-Thailand yang berlangsung di Langkawi pada Selasa.
- Mesyuarat dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha MOTAC dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Thailand.
- Semakan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Kerjasama Pelancongan Malaysia dan Thailand 2025-2027 dibincangkan.
- Strategi meningkatkan kesalinghubungan serantau dan melancarkan perjalanan rentas sempadan menjadi keutamaan.
- Penyertaan kementerian, imigresen dan agensi pelancongan menunjukkan komitmen merealisasikan ekosistem ASEAN yang lebih berhubung dan berdaya saing.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat itu dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, Natthira Phaengkhun.
“Pertemuan menegaskan semula hubungan persahabatan yang erat serta kerjasama strategik kedua-dua negara dalam memperkasa industri pelancongan.
“Antara perkara utama yang dibincangkan ialah semakan kemajuan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Kerjasama Pelancongan Malaysia-Thailand 2025–2027, selain strategi meningkatkan kesalinghubungan serantau dan melancarkan perjalanan rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat itu turut memberi tumpuan kepada usaha membangunkan sektor pelancongan yang lebih mampan dan berdaya tahan bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang kedua-dua negara.
MOTAC berkata, Thailand kekal sebagai antara pasaran penting kepada industri pelancongan Malaysia, justeru kementerian itu komited memperkukuh kerjasama rentas kementerian dan agensi bagi meningkatkan hubungan pelancongan serta mempererat hubungan rakyat kedua-dua negara.
Mesyuarat berkenaan turut disertai wakil daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Imigresen Malaysia dan Tourism Malaysia.
Menurut MOTAC, penyertaan pelbagai agensi itu mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Thailand dalam merealisasikan ekosistem pelancongan ASEAN yang lebih berhubung, dinamik dan berdaya saing.