
WASHINGTON, 22 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Selasa beliau akan mengenakan tarif ke atas ubat-ubatan generik diimport bermula pertengahan 2028 dalam usaha mendesak syarikat farmaseutikal memindahkan pengeluaran ke AS, lapor agensi berita Jerman (dpa).
- Ubat generik dikecualikan sehingga Ogos 2028, kemudian tarif 100% setahun, naik kepada 200% selepas itu.
- Tempoh kelonggaran dua tahun memberi masa kepada syarikat farmaseutikal memindahkan pengeluaran generik ke AS.
- Syarikat yang tidak bina kilang di AS akan berdepan penalti; butiran dan bidang kuasa undang-undang tidak dijelaskan.
Trump menerusi platform Truth Social berkata ubat-ubatan generik akan kekal dikecualikan daripada tarif sehingga Ogos 2028, sebelum tarif sebanyak 100 peratus dikenakan selama setahun dan seterusnya meningkat kepada 200 peratus.
Beliau berkata tempoh kelonggaran selama dua tahun itu akan memberi masa kepada syarikat farmaseutikal untuk memindahkan pengeluaran ubat generik ke AS.
Syarikat yang memilih untuk tidak membina kemudahan pembuatan di AS bakal berdepan penalti, kata Trump tanpa mendedahkan butiran lanjut. Beliau juga tidak menjelaskan bidang kuasa undang-undang yang akan diguna pakai bagi mengenakan tarif yang dicadangkan itu.
Pengumuman berkenaan sekali gus meningkatkan tekanan ke atas pengeluar ubat-ubatan yang menghasilkan ubat di luar AS.
Awal tahun ini, Trump mengumumkan rancangan mengenakan tarif 100 peratus ke atas ubat-ubatan berjenama yang berpaten, dengan pelaksanaan secara berperingkat bermula akhir Julai. Langkah itu merangkumi pengecualian, seperti produk yang dilindungi di bawah perjanjian perdagangan tertentu atau syarikat yang turut menjalankan pembuatan di AS.
Trump menegaskan bahawa beliau mahu menurunkan harga ubat preskripsi yang secara perbandingannya agak tinggi di AS, selain mendakwa pengeluar ubat memanfaatkan pengeluaran kos rendah di luar negara untuk memperoleh kelebihan persaingan yang tidak adil berbanding pengeluar tempatan. AS merupakan pusat penyelidikan farmaseutikal yang menanggung kos amat tinggi. -BERNAMA-dpa