
PUTRAJAYA, 22 Julai – Tabung Haji (TH) terus memperkukuh kesiapsiagaan fizikal, mental dan kesihatan bakal jemaah haji menerusi pelbagai inisiatif menyeluruh bagi memastikan mereka benar-benar bersedia sebelum berangkat ke tanah suci.
- Notifikasi awal sehingga dua tahun, penambahbaikan modul bimbingan kesihatan dan program Thoriq Ya Hajj untuk meningkatkan kecergasan serta stamina bakal jemaah.
- Pemantauan perubatan diperkukuh dengan penempatan petugas KKM, termasuk pakar psikologi, fisioterapi dan kaunselor bagi menjaga kebajikan jemaah.
- Semua jemaah Muassasah dilindungi skim takaful komprehensif; Operasi Haji 1447H berjaya dilaksanakan lancar dan TH terima Anugerah Labaitom Diamond.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menerusi kenyataan memaklumkan, usaha meningkatkan kesedaran turut diperkukuh melalui hebahan media, infografik dan kandungan media sosial yang memberi penekanan kepada kepentingan penjagaan kesihatan fizikal, mental dan emosi sebelum musim haji.
“Antara inisiatif dilaksanakan ialah pemberian notifikasi awal sehingga dua tahun sebelum giliran haji, penambahbaikan modul bimbingan kesihatan dalam semua kursus haji serta pelaksanaan program Thoriq Ya Hajj, iaitu cabaran berjalan kaki maya untuk meningkatkan kecergasan dan stamina bakal jemaah.
“Sepanjang musim haji di tanah suci, Tabung Haji turut menempatkan petugas perubatan bertauliah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, termasuk pakar psikologi, fisioterapi dan kaunselor bagi memastikan kebajikan serta keselamatan jemaah sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Semua jemaah haji Muassasah Tabung Haji juga dilindungi skim takaful yang merangkumi manfaat kematian, kemalangan, rawatan, kelewatan penerbangan, kehilangan bagasi serta bantuan pengebumian.
Hasil usaha berterusan itu, Operasi Haji 1447 Hijrah/2026 Masihi berjaya dilaksanakan dengan lancar, sekali gus menyaksikan Tabung Haji menerima Anugerah Labaitom Diamond Award buat kali kedua berturut-turut.