
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Lebih 5,000 kursus latihan percuma ditawarkan kepada rakyat Malaysia menerusi Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) bagi membantu masyarakat meningkatkan kemahiran serta menyesuaikan diri dengan keperluan dunia pekerjaan yang semakin pesat berubah.
- HRD Corp anjur NTW dengan sokongan KESUMA, mengganding hampir 1,000 penyedia latihan melalui portal National Training Week.
- NTW menekankan upskill dan reskill untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
- Program terbuka kepada semua, termasuk pekerja, pencari kerja, pelajar, kanak-kanak umur enam tahun dan warga emas; latihan dalam talian, hibrid dan bersemuka.
Ketua Pegawai Komunikasi Korporat HRD Corp, Nik Surina Suria Nik Abdullah berkata, program anjuran HRD Corp dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu menghimpunkan hampir 1,000 penyedia latihan yang menawarkan pelbagai kursus menerusi portal National Training Week.
Beliau berkata NTW memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengikuti latihan berkaitan kemahiran baharu (upskill) dan peningkatan kemahiran semula (reskill) sebagai sebahagian daripada usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
“National Training Week adalah untuk memberi peluang kepada semuazrakyat Malaysia supaya terus meningkatkan dan memperbaharui kemahiran. Kita mahu setiap daripada kita mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.
“Melalui NTW, lebih 5,000 kursus ditawarkan hasil kerjasama HRD Corp bersama hampir 1,000 penyedia latihan dengan sokongan padu KESUMA,” katanya kepada RTM selepas bersiaran dalam program Selamat Pagi Malaysia.
Menurutnya, antara bidang yang dijangka menerima permintaan tinggi ialah kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital, keusahawanan serta pelbagai kemahiran lain yang selari dengan keperluan industri semasa.
Beliau berkata program berkenaan terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk pekerja, pencari kerja, pelajar, kanak-kanak seawal usia enam tahun serta warga emas.
“NTW terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Mereka yang berminat hanya perlu mendaftar menerusi portal National Training Week. Prosesnya sangat mudah dan latihan ditawarkan secara dalam talian, hibrid serta bersemuka di cawangan seluruh negara,” katanya.
Semua kursus yang ditawarkan adalah percuma dan orang ramai digalakkan memanfaatkan peluang itu bagi meningkatkan kemahiran serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam mendepani perubahan pesat dunia pekerjaan.