
SEREMBAN, 21 Julai – Pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan luar bandar Negeri Sembilan perlu terus dipertingkat bagi memastikan masyarakat setempat menerima manfaat pembangunan secara menyeluruh.
- Perbelanjaan pembangunan kerajaan dan program KKDW perlu diselaraskan untuk perancangan pembangunan luar bandar yang berkesan.
- Pembangunan tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal, tetapi perlu meningkatkan aktiviti ekonomi untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan.
- KKDW menekankan peranan agensi seperti MARA dan KEMAS dalam latihan serta pembangunan usahawan bagi memperkasa keusahawanan luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha pembangunan tersebut boleh diselaras dan dirancang menerusi perbelanjaan pembangunan kerajaan termasuk program-program yang dilaksanakan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Masih banyak lagi kawasan luar bandar di negeri ini yang perlu dibangunkan dari segi infrastruktur seperti jalan perumahan desa dan kemudahan lain yang boleh kita berikan kesinambungan dan tambahan. Saya fikir ia perlu dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berkata keperluan pembangunan luar bandar tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal, malah peningkatan aktiviti ekonomi yang berpotensi mencipta peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Himpunan Warga Kemas Bersama Kepimpinan Tertinggi di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas, Kampung Pantai, di sini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid juga menekankan peranan KKDW dalam melaksanakan program pembangunan temasuk memperkasa keusahawanan menerusi agensi di bawah kementeriannya.
“Antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan KEMAS yang mempunyai program berkaitan latihan serta
pembangunan usahawan luar bandar.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan pembangunan luar bandar merangkumi penyediaan kemudahan asas selain meningkatkan kegiatan ekonomi dan peluang pekerjaan masyarakat setempat,” katanya lagi.